USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM SASAR PEMELIHARAAN DAN PEMULIHARAAN KEARIFAN TEMPATAN

IMG 20151014 WA0027

BANDUNG, 14 Oktober 2015 – Pemeliharaan dan pemuliharaan kearifan tempatan yang kini semakin pupus ditelan arus kemodenan menjadi sasaran utama Universiti Sains Malaysia (USM) untuk generasi akan datang melalui kolaborasi dengan pelbagai pihak.

Pengerusi/Konvenor Persidangan Antarabangsa Kearifan Tempatan 2015, Profesor Madya Dr. Salasiah Che Lah ketika ditemui berkata, persidangan yang diadakan saban tahun ini bukan sahaja mengumpulkan para cendekiawan malah mencari pendekatan terbaik bagi menyalurkan maklumat kearifan tempatan kepada semua lapisan masyarakat.

Persidangan Antarabangsa Kearifan Tempatan 2015 berlangsung di sini bermula 14 Oktober 2015 hingga 16 Oktober 2015 disertai oleh lebih daripada 150 orang peserta termasuk dari negara seperti Malaysia, Indonesia, Singapura dan Rusia.

"Persidangan yang julung kali pada peringkat antarabangsa ini diharapkan dapat mengenalpasti kaedah dan jawapan terbaik untuk melebar luas ilmu kearifan tempatan yang diwarisi berkurun lama di nusantara malah harapan saya, USM dapat bekerjasama dengan Institusi Pengajian Tinggi seluruh negara ASEAN malah juga Asia untuk menjaga khazanah ilmu yang tidak ternilai buat generasi masa yang akan datang," kata Salasiah.

Pakar Sosio Linguistik USM itu banyak menjalankan penyelidikan pengkhususan bahasa orang asli dan masalah kepupusan bahasa itu bersyukur kerana pada persidangan kali ini kolaborasi bersama tiga buah universiti dimeterai untuk memajukan bidang kearifan tempatan.

"Kolaborasi ini akan menumpukan kepada penyelidikan dan penerbitan berkaitan demi mengangkat kearifan tempatan ke tahap yang lebih tinggi yang tidak mustahil suatu masa nanti jika diteruskan mampu memperolehi kerjasama peringkat global bagi tujuan ini," tambahnya lagi.

Universiti yang terlibat di dalam perjanjian kolaborasi dengan USM ini ialah Universitas Pasundan (UNPAS), Universitas Langlangbuana (UNLA) dan Institut Teknologi Bandung (ITB).

Usaha kolaborasi seperti ini akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk dikongsikan segala ilmu dan kepakaran ke tahap yang diharapkan.

Salasiah berpendapat bahawa globalisasi dan modenisasi yang tiada sempadan membuatkan kearifan tempatan semakin pupus ditelan zaman akibat terlalu banyak berfokuskan kepada teknologi tanpa selarikan dengan ilmu kepakaran moyang dahulu untuk diingati dan diamalkan.

"Faktor ini mendorong kepada kepupusan ilmu tersebut yang mampu membuatkannya terus ditelan dengan kemajuan yang dikecapi kini sedangkan ilmu kearifan tempatan mampu membuatkan pelbagai budaya seperti budaya Melayu kekal utuh sebagai tunjangan jati diri kita," katanya lagi.

Kerana itu, penubuhan Sekretariat Kearifan Tempatan sejak tahun 2011 yang memperjuangkan perkara ini perlu mendapat kerjasama dengan semua pihak terutamanya institusi pengajian tinggi."

Kita sasarkan kerjasama kolaborasi ini akan dilebarsayapkan ke Vietnam dan Thailand dalam memartabatkan kearifan tempatan di nusantara ini," kata Salasiah yang turut berharap penyelidik-penyelidik muda mampu dilahirkan melalui persidangan seperti ini untuk meneruskan penyelidikan penambahbaikan aspek kearifan tempatan di nusantara mahupun di dunia.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 931

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024