ICLK 2015 LAKAR KEJAYAAN USAHA USM
BANDUNG, 13 Oktober 2015 – Persidangan Antarabangsa Kearifan Tempatan (International Conference On Local Knowledge) 2015 menampilkan keunikan tersendiri dengan berlangsungnya beberapa acara yang diaturkan dan juga merupakan kesinambungan daripada Regional Conference on Local Knowledge (RCLK) yang berlangsung sejak tahun 2011.
Persidangan kali ini menampilkan lebih daripada 100 kertas kerja yang akan dibentangkan oleh para peserta yang terlibat yang datang dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Rusia.
Sempena dengan ICLK juga, akan berlangsung penandatanganan Perjanjian Kerjasama (MoA) dan Perjanjian Kolaborasi (CA) antara Universiti Sains Malaysia (USM) dengan tiga universiti di Indonesia iaitu Institut Teknologi Bandung (ITB), Universitas Langlangbuana (UNLA) dan Universitas Pasundan (UNPAS) sebagai rakan kolaborasi dalam penganjuran persidangan kali ini.
Perasmian persidangan kali ini akan dilakukan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman selaku Patron Kumpulan Kearifan Tempatan USM dan akan disertai oleh Rektor Institut Teknologi Bandung, Profesor Dr. Ir. Kadarsah Suryadi, Rektor Universitas Langlangbuana, Dr. Nana Rukmana Asmita dan Rektor Universitas Pasundan, Prof. Dr. Ir. H. Eddy Jusuf Sp.
Selain itu, pelancaran 11 buah buku oleh kumpulan kearifan tempatan pada tahun ini adalah antara kejayaan yang dibanggakan oleh USM.
Di samping itu, pelancaran Asian Local Knowledge Network (ALKN) yang merupakan rangkaian jaringan kearifan tempatan di rantau ini akan meneruskan legasi kecemerlangan kumpulan kearifan tempatan USM.
Konvenor persidangan adalah pensyarah Pusat Pengajian ilmu Kemanusiaan USM, Profesor Madya Dr. Salasiah Che Lah.
Persidangan ini diadakan dalam dwi bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dan akan berlangsung pada 14 hingga 16 Oktober 2015 di Grand Hotel Lembang, Bandung Indonesia.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 924