USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM BANTU PELAJAR RUMAH DIJILAT API

IMG 0805

PULAU PINANG, 13 Oktober 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) membantu meringankan beban pelajar tahun tiga Kursus Rekabentuk Dalaman, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (PPPBP) iaitu Noor Aiza Hassan,22 yang rumahnya musnah dijilat api dalam satu kebakaran besar yang melibatkan lebih 190 buah rumah pada 3 Oktober lalu.

Kejadian melibatkan lebih 200 penduduk Kampung Simunul, Samporna Sabah yang hilang tempat tinggal dan kini ditempatkan di Dewan Masyarakat Sampoerna.

IMG 0819fgh

Noor Aiza menerima perkhabaran tersebut dari ibunya, Radska Miralam,50 ketika waktu maghrib.

“Ibu memaklumkan bahawa rumah terbakar dan tinggal sehelai sepinggang serta hanya sempat menyelamatkan dokumen penting mereka satu keluarga,” kata anak sulung dari empat orang adik beradik itu ketika ditemui dalam satu majlis ringkas penyerahan sumbangan oleh warga PPPBP.

Noor Aiza mengucapkan terima kasih kepada semua yang prihatin dan membantunya sekeluarga bukan sahaja dari PPPBP namun seluruh warga universiti yang menyalurkan sumbangan.

unnamed 3

unnamed 7

Bagaikan jatuh ditimpa tangga, Noor Aiza yang bercita-cita untuk menjadi pereka dalaman baru kehilangan tempat bergantung apabila bapanya Hassan Saleh,57 meninggal dunia pada 11 September lalu.  

Tiga orang adiknya masih bersekolah iaitu di Mohd Azree,20 di Tingkatan 6, Mazlan sedang menduduki peperiksaan PT3 dan juga Muhammad Azdrul di Tingkatan 2.

Timbalan Dekan PPPBP, Profesor Sr. Dr Mastura Jaafar yang menyampaikan sumbangan bagi pihak Dekan PPPBP, Profesor Dr. Aldrin Abdullah mengucapkan takziah kepada Noor Aiza dan berharap dia terus tabah menghadapi dugaan tersebut.

“Semoga apa yang dihadapi pada masa kini memberikan hikmah kepada Noor Aiza dan saya berharap beliau terus kuat menghadapi hari mendatang dan tidak putus asa dalam apa yang dilakukan pada masa kini dan hadapan,” tambah Mastura.

IMG 0807jhv

Mastura turut menyampaikan sumbangan hasil kutipan para pelajar dan staf PPPBP itu kepada Tanasingam Nadarajah,29  anak kepada mendiang Nadarajah Suppiah, 58 tukang cuci di PPPBP yang meninggal dunia disebabkan serangan jantung.

“Mendiang yang telah bekerja di sini selama lebih setahun sangat komited dalam kerjanya dan memulakan kerja seawal 6.30 pagi dan pada waktu semua staf tiba di PPPBP, kerja-kerja di kawasan luar telah selesai,” kata Penolong Pendaftar Kanan PPPBP, Mohd Zuki Arifin.

IMG 0813kg

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua dan akan meneruskan kerja bapa saya di sini dengan penuh dedikasi seperti beliau,” kata Tanasingam, anak sulung daripada tiga adik beradik.

Bagi yang ingin membuat sumbangan boleh menghubungi Noor Aiza di talian 0128433407 atau Mohd Zuki di talian 04-653 3172.

Teks: Nor Rafizah Md Zain

Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 1087

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024