USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PERPADUAN NADI TRANSFORMASI UNIVERSITI

Profesor Dato’ Dr. Omar Osman

Naib Canselor

Universiti Sains Malaysia

Salam Maal Hijrah 1437. Salam perpaduan dan Salam 1USM. Saya Sayang USM, USM Sayang Saya.

Walau pun peristiwa hijrah baginda Rasulullah SAW sudah berlalu lebih 1400 lalu, namun tetap menjadi satu momen sejarah yang kita sentiasa kenang dan pelajarinya untuk memastikan kita sentiasa mengingati diri untuk bersedia berubah dan berhijrah dalam memacu kecemerlangan. Apatah lagi memacu kecemerlangan universiti untuk kita menjadi pemimpin ilmu yang disegani, dihormati, berwibawa dan mampu pula melakukan transformasi dan perubahan dalam masyarakat, negara dan dunia.

Hakikatnya peristiwa hijrah baginda Rasulullah SAW tidak berlaku begitu sahaja. Penghijrahan itu dilakukan dengan penuh hati-hati, berstrategi jangka panjang, bijak dalam hitungan sahsiahnya dan mengambil kira keperluan pembangunan umat Islam dan ummah seluruhnya dalam jangka panjang. Fokusnya ialah untuk masa hadapan bukannya untuk kejayaan semasa sahaja.

Malah hijrah baginda Rasulullah SAW juga bukan berlaku secara sendirian, tetapi berlaku dalam kumpulan yang melibatkan para sahabat dan pengikut setia yang percaya pada visi dan misi yang sama. Iman dan taqwa yang berlandaskan kepada keredhaan Allah SWT untuk kemashlahatan ummah dan daulah Islamiyyah dan dibuat dengan niat yang betul dan ikhlas, berpaksikan amanah dan tanggungjawab dan mengambil kira semua keperluan untuk kejayaan.

Inilah yang harus kita terap dan sentiasa rasai dalam menegakkan dan meneruskan perjuangan untuk pembangunan roh ilmu dan pendidikan tinggi. Dilakukan secara bersama-sama, melibatsama seluruh warga, berfokus, berstrategi, menetapkan matlamat keberhasilan utama, melihat kepada keperluan kejayaan segera atau quick wins dan sentiasa mempunyai ruang untuk pemantauan dan penilaian semula.

Semua ini memerlukan perpaduan jitu, kesediaan untuk bersama-sama melakukan transformasi diri dengan nilai-nilai bersama untuk memberi dan menerima dalam semangat sayangkan institusi dan pada masa yang sama, bersama-sama pula memastikan universiti juga menyayangi warganya dengan cara dan kaedah yang bersesuaian.

Berpaksikan kepada tiga Objektif Strategik jangka panjang iaitu membangunkan bakat yang releven dan berdaya saing global sesuai dengan keperluan negara dan antarabangsa, meningkatkan ekosistem penyelidikan untuk menyokong pembangunan dan pencapaian kesohoran antarabangsa serta meningkatkan kecemerlangan institusi berasaskan prinsip etika, kewangan dan persekitaran yang lestari, semua pihak perlu bersama-sama menjayakannya dengan menterjemahkan dalam bentuk tindakan yang bersesuaian.

Seluruh warga USM perlu bersatu tenaga dalam menggerakkan ketiga-tiga objektif strategik ini dalam menjayakan visi dan misi USM selama ini agar sekurang-kurangnya pada tahun 2020 kita mencapai segala hasrat yang ditetapkan terutamanya dalam meletakkan kita sebagai antara 100 terbaik dunia dalam konteks institusi pendidikan tinggi negara secepat mungkin.

Dalam hal ini juga, tidak harus berlaku pengecualian dalam penglibatan seluruh warga universiti.  Baik warga akademik, pentadbiran, sokongan apatah lagi para pelajarnya perlu menghayati jiwa dan nada yang sama, terlibat dalam perancangan, pelaksanaan apatah lagi pemantauan dan memastikan semua yang dirancang dalam keseluruhan keberhasilan utama mencapai kenyataan.

Kerana itu, amat tepat sekali tema sambutan Maal Hijrah Perpaduan Nadi Transformasi Negara dalam konteks USM nadi transformasi universiti yang dilakukan dengan penuh berstrategi dan berfokus demi kelestarian hari esok menggunakan nilai-nilai yang dibangunkan bersama dan tidak melupakan kedudukan USM dalam Memacu Kecemerlangan sekaligus merealisasikan moto Kami Memimpin.

Semoga Allah SWT memberkati usaha kita.

Salam Maal Hijrah, Salam Perpaduan, Salam 1USM

Kami Memimpin. Memacu Kecemerlangan.

  • Created on .
  • Hits: 948

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024