USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

IKTIRAF KARYA AGUNG: MGTF ANJUR PAMERAN KENALI AINUL JAMAL

IMG 0747fgh

PULAU PINANG, 13 Oktober 2015 – Lagu “Saat Yang Bahagia” nyanyian pasangan biduan dan biduanita negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan Allahyarhamah Puan Sri Saloma sehingga kini sangat popular, namun tahukah kita siapa penggubahnya?

Pencipta lagu berkenaan ialah Datuk Ainul Jamal, satu nama yang cukup sinonim dengan P. Ramlee yang turut berperanan dalam mengarah, menggubah, mengadun dan melibatkan diri secara langsung dengan penciptaan lagu dan pengarahan filem.

Untuk mengenali insan dan karya agung tokoh yang sangat mencintai bidang penciptaan karya seni ini, Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah (MGTF), Universiti Sains Malaysia (USM) membawakan Pameran Datuk Ainul Jamal bermula 12 Oktober hingga 12 November depan di MGTF.

IMG 0773j

Ainul ketika berucap di majlis itu ternyata terharu dengan penghormatan yang diberikan dan berharap langkahnya dalam mengangkat bidang penciptaan karya seni akan diteruskan oleh generasi muda hari ini.

“Orang dulu selalu berkata, apa yang kita semai, itulah yang kita tuai dan pepatah itu memang benar sama sekali. Segala hasil yang dilihat pada hari ini adalah berkat usaha dan dorongan semua ke arah memartabatkan karya anak jati kita.

“Saya amat terharu dengan penghormatan yang diberikan dalam membuka ruang untuk saya sama-sama menjayakan pameran ini,” katanya yang hadir ditemani isteri, Datin Azirah Daud dan ahli keluarga terdekat.

IMG 0775hj

Majlis perasmian pameran itu disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang mewakili Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan. Yang hadir sama ialah TNC (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein dan Pengarah MGTF, Zolkurnian Hassan.

Ainul sememangnya meminati bidang muzik sejak di bangku sekolah dan semasa berumur 15 tahun telah menjuarai pertandingan nyanyian Annual Talentime di King Edward VII School, Taiping Perak.

Anak kelahiran Matang, Perak yang kini mencecah usia 80 tahun itu juga mengakui sangat rapat dengan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee memandangkan seniman negara itu adalah anak angkat kepada arwah bapanya.

“Kami bertambah rapat bila saya ke Singapura melanjutkan pengajian dan ketika itu P.Ramlee bekerja dengan Shaw Brothers.

IMG 0785ytj

"Setelah kembali ke Malaysia, Allayarham P. Ramlee telah meminta saya mencipta sebuah lagu untuknya dan terhasillah lagu pertama yang dicipta untuk beliau dalam masa singkat iaitu Kisah Rumahtangga,’’ ujar beliau.

Dalam pada itu, Muhamad pula berkata, hasil karya Ainul Jamal masih mendapat tempat di hati peminat hingga kini adalah kerana hasil karyanya yang halus, penuh makna dan menyentuh jiwa.

“Kita juga amat berharap agar beliau akan terus berkarya dan menyumbang idea-idea yang segar dan hidup walau pun telah dibatasi usia dan keadaan fizikal yang kurang mengizinkan.

“Hingga kini, beliau masih memperjuangkan seni yang telah begitu lama diceburinya. Ini kerana selagi ada hayat, beliau tetap menyimpan jati diri yang murni dalam dirinya untuk memastikan karyanya terus hidup dan dikenang.

Katanya lagi, USM akan terus memberi sokongan dalam rangka usaha menjalin kerjasama dua hala dalam memperkembangkan bidang seni kreatif khususnya bidang muzik dan pengarahan untuk melahirkan pelapis dan bakat-bakat baru di kalangan pelajar. 

Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

 

  • Created on .
  • Hits: 1233

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024