SISTEM ‘ADNAN’ BANTU PESAKIT DIALISIS
KUBANG KERIAN, 12 Oktober 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mencipta sistem atau rangkaian aplikasi untuk 50,000 pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis di Malaysia yang berupaya merekod maklumat pusat dialisis dan data pesakit serta berfungsi secara ‘offline-online’ yang boleh diakses di mana sahaja untuk persediaan jika berlaku bencana seperti banjir.
Aplikasi yang dicipta pada awal 2013 dikenali sebagai sistem ‘ADNAN’ atau ‘Advance Dialysis Nephrology Application Network’ adalah hasil usaha sama kepakaran USM dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang akan digunakan di Kelantan sebagai permulaan dan akan dikembangkan ke seluruh Malaysia sedikit masa lagi.
Menurut Ketua Unit Chronic Kidney Disease (CKD), Profesor Madya Dr. Azreen Syazril Adnan, objektif utama adalah memastikan pesakit dialisis menerima rawatan semasa bencana, membolehkan semua perkhidmatan dialisis diselaras dengan cekap dan penyelidikan untuk penambahbaikan dapat dibuat berdasarkan data-data yang diterima.
“Pesakit akan diberi gelang yang mempunyai cip data yang berfungsi sama seperti ‘punch card’ yang perlu diletakkan pada alat supaya doktor atau staf bertanggungjawab akan dapat melihat maklumat pesakit di dalam komputer,” katanya.
Tambahnya lagi, setiap data yang disimpan secara maya adalah lebih selamat serta dilindungi kerana telah diperakui oleh Cyber Security Malaysia.
“Untuk jangka masa panjang, sistem ini akan dikembangkan ke Thailand dan Brunei sekaligus menjana pendapatan kepada USM,” katanya lagi.
Pelancarannya akan diadakan pada 17 November 2015 oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dan pada hari berikutnya pula akan diadakan bengkel cara penggunaan sistem ‘ADNAN’ kepada peserta yang terlibat.
Yang turut memberi penerangan tentang cara penggunaan sistem tersebut ialah pensyarah Fakulti Komputeran UTM, Profesor Madya Dr. Mohd Yazid Idris.
Teks: Muhd Zulkifli Zakaria
Foto: Wan Ahmad Nizamuddin Wan Mohd Sukri
- Created on .
- Hits: 1459