USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TRANSFORMASI HATI PENTING UNTUK LAHIRKAN INSAN CEMERLANG

 DSC7150hjk

PULAU PINANG, 12 Oktober 2015 – Proses transformasi hati perlu dalam melahirkan kecemerlangan diri dalam diri setiap insan supaya mampu memberi impak yang positif kepada universiti.

Pakar Motivasi, Dato' Dr. Hj Mohd Fadzilah Kamsah berkata, proses kecemerlangan diri bermula dengan sikap diri sendiri yang perlu berubah ke arah kebaikan supaya dapat membersihkan hati sekaligus berubah ke arah kebaikan.

“Sikap kita yang tidak nampak keperluan untuk berubah dan tidak mengenali diri sendiri serta kurang berdisiplin menyebabkan proses perubahan ke arah kebaikan dalam diri tidak berlaku apatah lagi dengan persekitaran yang tidak kondusif dan gagal bertemu titik untuk berubah juga menjadikan seseorang itu gagal berubah,” katanya lagi ketika memberi ceramah kepada lebih 200 orang staf Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Tegas Fadzilah, dalam melalui proses transformasi hati ini, setiap insan perlulah mengenali diri sendiri sebelum melakukan perubahan dengan menggunakan pelbagai kaedah pada masa kini untuk mengenali keupayaan diri sendiri misalnya menggunakan ujian analisis Psychometric yang dapat menentukan tahap pencapaian serta sikap diri yang sebenar sekaligus dapat mengenalpasti titik perubahan untuk meningkatkan kecemerlangan diri.

 DSC7151mh

“Hasil kajian saya hampir 30 tahun dalam bidang psikologi, saya dapati terdapat pelbagai cara lain untuk mengenali diri seperti melalui bulan kelahiran dan perawakan fizikal selain bentuk tulisan dan warna kegemaran serta nama juga turut mencerminkan peribadi malah panggilan nama yang membawa maksud yang baik mampu menpengaruhi minda dan sikap manusia menjadi insan yang lebih baik," tambah Fadzilah.

Tambahnya lagi, proses transformasi hati ini dapat dilakukan dengan mendekatkan diri kepada ajaran agama masing-masing selain muhasabah diri juga perlu dalam membentuk hati yang bersih untuk membina diri yang cemerlang.

Menurut Fadzilah, apabila kita sudah berjaya melalui proses transformasi hati, proses untuk mengekalkan kecemerlangan diri sebagai seorang pekerja yang mampu memberi input-input yang baik kepada persekitaran tempat kerjanya juga perlu supaya dapat memotivasikan diri sendiri dan sentiasa merasa cinta akan kerjaya sekarang.

 DSC7145jgh

“Petua untuk menjadi cemerlang di tempat kerja ialah dengan kita menghindari gangguan yang negatif di tempat kerja dan sentiasa kenalpasti waktu kita yang produktif selain memberi fokus kepada aktiviti yang berprestasi tinggi serta berkongsi matlamat bersama rakan-rakan yang lain,” katanya.

Ceramah motivasi ini anjuran Pusat Transformasi Insan (PTI) USM. Yang hadir sama ialah Pengarah PTI, Profesor Madya Dato' Haji Ellias Zakaria.

Teks: Syuhada bt Abd Aziz

  • Created on .
  • Hits: 1101

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024