USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM RANCANG BERI PENGIKTIRAFAN KEPADA PEMIMPIN PELAJAR DENGAN TURUT SERTA DALAM PELBAGAI PERANCANGAN

 DSC7165fgj

PULAU PINANG, 12 Oktober 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) bercadang memberikan pengiktirafan tinggi kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) untuk memastikan pelajar sentiasa dapat bersama-sama dengan pengurusan tertinggi dalam melaksanakan perancangan masa hadapan melalui penglibatan mereka dalam 9 Bidang Keberhasilan Utama (Key Focus Area) yang ingin dicapai dalam 5 tahun yang akan datang.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, dengan cara ini para pelajar akan bersama-sama memahami dan turut menjayakan perancangan strategik universiti secara menyeluruh dengan mengajak kepimpinan MPP untuk bekerja dan bergerak bersama-sama Universiti serta cemerlang bersama-sama malah USM juga bersedia menghantar kepimpinan pelajar menyertai pelbagai kumpulan yang ada termasuk latihan keusahawanan, kepimpinan, pembangunan bakat, pembangunan institusi, pembangunan nilai dan sebagainya sebagai penghargaan tertinggi USM dengan harapan akan menghasilkan pemimpin pelajar yang berilmu dan berkemahiran tinggi.

 DSC7168ghjk

Naib Canselor berkata demikian setelah mengikuti pembentangan Perancangan Strategik Hala Tuju MPPUSM yang dibentangkan oleh Yang Dipertua MPP, Mohd. Fahmi Bin Mohd Fadzli kepada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) yang diadakan khas pada petang ini.

Beliau turut mencadangkan agar satu mekanisme tidak formal diwujudkan di antara pengurusan universiti dengan pelajar sesuai dengan hasrat untuk sentiasa bersama-sama dalam proses pembangunan pelajar yang holistik.

"Pengurusan tertinggi USM sentiasa ingin berdamping dengan pelajar dan mengambil apa jua langkah yang perlu untuk bersama-sama pelajar, terutamanya melalui acara-acara informal dalam merapatkan apa jua jurang yang ada,” kata Omar.

 DSC7158jklk

 DSC7157hjkgh

Naib Canselor USM itu juga menyeru agar kepimpinan MPP mengambil peluang dalam tempoh kepimpinan mereka untuk mengambil kesempatan membangunkan bakat dan kemahiran kepimpinan mereka sebagai pemimpin global masa hadapan dan menambahkan ilmu pengetahuan untuk masa hadapan termasuk memperkasakan kemahiran insaniah, meningkatkan potensi diri serta memberikan nilai tambah kepada apa yang sedia ada.

"Hal ini penting dalam membolehkan pelajar menghayati usaha universiti untuk menghasilkan siswazah masa hadapan yang dijenamakan dengan HEBAT seperti yang dirancang dalam Makmal USM 2020 minggu lalu,” kata Omar.

Naib Canselor juga bersetuju dengan pandangan bahawa MPP perlu merancang programnya yang melangkaui tempoh masa pelantikan yang ada.

 DSC7163ghk

"Dengan cara itu program-program yang dirancang dapat dilakukan secara berterusan dan menjadi sebahagian jenama HEBAT yang sedang dibangunkan oleh Universiti,” kata Omar.

Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein sebelum ini mencadangkan kepada universiti untuk melaksanakan program siswazah yang berjenamakan HEBAT yang bermakna ‘Holistik’, ‘Entrepreneural’ yang mempunyai kekuatan jiwa usahawan, ‘Balanced’ atau seimbang, ‘Articulate’ dan ‘Thinker’ atau pemikir.

Siswazah HEBAT adalah mereka yang dapat memenuhi keperluan negara dan antarabangsa, memiliki set minda global, memiliki ‘sense of belonging’ terhadap universiti, masyarakat dan negara serta kukuh jati diri melalui pelbagai mekanisme dan inisiatif strategi.

MPP diharapkan untuk bersama-sama memaknakan konsep Saya Sayang USM dan USM Sayang Saya sebagai timbal balik yang saling memberikan sumbangan untuk pembangunan masa hadapan.

Mohd. Fahmi menyambut baik dan menghargai peluang yang diberikan oleh universiti untuk mendengar pelan perancangan MPP yang pertama kali dibuat.

“Ini adalah satu pengiktirafan tinggi kepada kami yang perlu dimanfaatkan untuk bersama-sama universiti dalam menjayakan perancangan masa hadapan,” katanya ditemui selepas mesyuarat tersebut.

Terdahulu Mohd. Fahmi menjelaskan yang MPP USM pada tahun ini akan berusaha meningkatkan kesejahteraan pelajar dan memperkasa libatsama komuniti, menjadi badan penghubung utama pelajar dengan pihak pengurusan universiti dan berusaha untuk mencapai kecemerlangan pengurusan organisasi MPP dengan 3 penekanan utama iaitu peka kepada pesekitaran, pengupayaan pasukan serta kreativiti dan inovasi.

Antaranya, kata Mohd. Fahmi, MPP bercadang memperkenalkan e-Aduan secara atas talian untuk membolehkan pihaknya mendengar pandangan pelajar dan mengemukakan pandangan-pandangan terhadap pelbagai isu yang berkaitan untuk faedah universiti dan pelajar.

Teks: Mohamad Bin Abdullah

  • Created on .
  • Hits: 1141

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024