USM SASAR PENCAPAIAN REALISTIK 2020
PULAU LANGKAWI, 11 Oktober 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) mensasarkan pencapaian yang lebih realistik pada tahun 2020 dengan menyediakan perancangan strategik yang berfokus dan melibatkan seluruh warganya.
Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman, hal ini akan dicapai melalui penetapan 3 Objektif Strategik, 9 Bidang Keberhasilan Utama (Key Focus Area), 33 matlamat yang berfokus, 108 strategi dan 225 inisiatif yang berteraskan kepada pencapaian segera dan pencapaian 5 tahun dari sekarang.
“Ini adalah antara yang dicapai hasil Makmal USM APEX 2020 yang mengumpulkan semua ketua jabatan dan warga USM merentasi disiplin untuk berkongsi pemikiran bagi mencapai usaha USM ini,” kata Omar semasa membuat kesimpulan dalam Makmal USM 2020 yang berlangsung 3 hari di sini.
Tiga objektif strategik USM ialah membangunkan bakat yang releven dan berdaya saing global sesuai dengan keperluan negara dan antarabangsa, meningkatkan ekosistem penyelidikan untuk menyokong pembangunan dan pencapaian kesohoran antarabangsa serta meningkatkan kecemerlangan institusi berasaskan prinsip etika, kewangan dan persekitaran yang lestari.
“Kita akan terus membuat pemantauan dan pemurnian pencapaian yang dilakukan dalam perancangan strtaegik ini melalui kaedah-kaedah tertentu yang bersifat masa sebenar (real time) termasuk pembangunan sistem dashboard untuk akademik dan pentadbirann,” kata Omar.
Jelasnya lagi, antara yang ingin kita capai ialah menjadi 100 terbaik dunia atau Global University 100, menerapkan Nilai-nilai Asas yang kukuh dan utuh melalui Rukun USM dalam kalangan seluruh warga USM, cemerlang sebagai ‘Green Campus’, mentransformasikan urusan kewangan untuk lebih lestari dan berdikari malah mentransformasikan Hospital USM di Kubang Kerian sebagai sumber pengukuhan penjanaan dana USM.
“Semua perancangan akan berteraskan kepada 3 prinsip asas iaitu “alignment” - yang melakukan penjajaran dengan keperluan masa hadapan, berorientasikan bisnes dan berteraskan kompetensi atau dikenali sebagai ABC,” kata Omar lagi.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein dalam pembentangannya mencadangkan kepada universiti untuk melaksanakan usaha menghasilkan siswazah yang berjenamakan HEBAT pada masa hadapan.
“HEBAT bermakna ‘Holistik’, ‘Entrepreneural’ yang mempunyai kekuatan jiwa usahawan, ‘Balanced’ atau seimbang, ‘Articulate’ dan ‘Thinker’ atau pemikir,” kata Adnan.
Jelasnya lagi, siswazah HEBAT adalah mereka yang dapat memenuhi keperluan negara dan antarabangsa, memiliki set minda global, memiliki ‘sense of belonging’ terhadap universiti, masyarakat dan negara serta kukuh jati diri melalui pelbagai mekanisme dan inisiatif strategi.
Antaranya termasuklah mewujudkan jaringan antarabangsa, meluaskan program pertukaran pelajar, melaksanakan lonjakan-lonjakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia – Pendidikan Tinggi dalam konteks pembangunan pelajar dan lain-lain yang sedang dimurnikan dan akan dipantau dan dinilai secara berterusan.
Dalam bengkel yang sama juga, cadangan dibuat untuk USM melaksanakan segera Unit Bisnes Khas di seluruh jabatan USM serta menyediakan sasaran pencapaian khusus untuk syarikat komersil USM.
Teks: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 931