USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HUSM LANCAR KEMPEN KANSER PAYUDARA

20151011 110549

KUBANG KERIAN, 11 Oktober 2015 – Dalam usaha meningkatkan kesedaran wanita terhadap penyakit kanser payudara, Hospital USM (HUSM) hari ini melancarkan Kempen Kanser Payudara sempena bulan Oktober yang setiap tahun dipilih sebagai sambutan kesedaran penyakit tersebut yang bertemakan ‘Kesan Sebelum Kesal’.

Kanser payudara masih menjadi pembunuh utama wanita di dunia yang dengan kemajuan teknologi boleh dirawat 100 peratus sekiranya pesakit mendapatkan rawatan pada peringkat awal.

Menurut Pakar Bedah Payudara HUSM, Dr. Maya Mazuwin Yahya, kempen ini bertujuan memberi kesedaran kepada wanita mengenai rawatan awal untuk mencegah kanser payudara.

“Dengan peningkatan jangka hayat wanita di negara ini yang mencapai 76 tahun mereka tidak perlu berasa malu atau bimbang untuk tampil mendapatkan pemeriksaan dan rawatan awal dengan menjalankan pemeriksaan mamogram yang sangat penting dan mampu mengesan kanser payudara dengan lebih berkesan," kata Maya Mazuwin.

Tambahnya, selain wanita berisiko seperti mereka yang mempunyai sejarah perubatan seperti ibu, makcik dan adik-beradik yang pernah diserang kanser payudara, wanita yang tidak pernah melahirkan anak, menyusukan anak dan wanita yang melahirkan anak selepas usia 35 tahun juga perlu membuat pemeriksaan sendiri mahupun mamogram.

Maya Mazuwin juga menasihatkan wanita yang berusia 30-an supaya melakukan pemeriksaan mamogram tiga tahun sekali, yang berusia 40-an menjalani pemeriksaan dua tahun sekali dan yang berusia 50-an membuat pemeriksaan setahun sekali apatah lagi penyakit ini menyerang sesiapa saja yang berisiko yang dengan pemeriksaan awal mampu menyelamatkan nyawa terutamanya pada hari akhir kedatangan haid.

"Walaupun terdapat banyak kempen kesedaran yang dijalankan, namun tanpa kemudahan yang mencukupi masalah barah payudara akan tetap berlanjutan apatah lagi di beberapa buah negara sudah memberikan pemeriksaan mamogram secara percuma menyebabkan penyakit ini tidak lagi menjadi ancaman utama mereka di sana.

Sempena kempen ini, Klinik Surgeri HUSM memberikan riben berwarna merah jambu kepada mereka yang menerima rawatan di sini bagi menyokong dan mewar-warkan kempen ini kepada orang ramai.

Teks/Foto: Mohd Ridzuwan Ramly

  • Created on .
  • Hits: 858

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024