PELAJAR ANTARABANGSA USM RAIH TEMPAT KETIGA KARNIVAL BAHASA JIWA BANGSA 2015
PULAU PINANG, 11 Oktober 2015 – Pelajar dari Republik Rakyat China yang sedang mengikuti pengajian di Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan (PPBLT) Universiti Sains Malaysia (USM) memenangi tempat ketiga Pertandingan Lagu Puisi Pelajar Antarabangsa sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2015 di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar Kedah semalam.
Li Yong berkata dia gembira diberi peluang menyertai pertandingan ini dan berentap dengan pelajar-pelajar antarabangsa dari institusi pendidikan seluruh Malaysia.
"Peluang ini membanggakan dan saya kini lebih memahami budaya dan adat resam rakyat negara ini terutamanya budaya dan bahasa Melayu,” katanya yang mendendangkan lagu 'Menunggu Pertemuan'.
Tambah Li, minat mendalam terhadap negara Malaysia khususnya Asia Tenggara telah mendorongnya untuk membuat persediaan rapi ketika menyertai dan mengambil bahagian dalam pertandingan ini.
"Saya berterima kasih kepada Dekan PPBLT Profesor Dr. Tengku Sepora Tengku Mahadi yang telah menggalakkan saya menyertai pertandingan ini serta Pengerusi Rancangan Bahasa Melayu PPBLT Azlina Md Sadik dan Guru Bahasa PPBLT Nur Faraliana Mohd Yusoff yang membimbing saya ketika menyertai pertandingan ini,” tambahnya lagi.
Seorang lagi peserta dari USM Ma Xioajing dari Pusat Pengajian Pengurusan yang menyanyikan lagu 'Doa' walaupun tidak berjaya memenangi tempat tiga teratas tetap berbangga kerana diberi peluang oleh USM untuk menyertai pertandingan ini yang dianggapnya unik dan memberi peluang kepada pelajar untuk mengenali dengan lebih dekat mengenai bahasa kebangsaan.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto: Ehsan PPBLT
- Created on .
- Hits: 854