USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SAMBUTAN PESTA TANGLUNG USM SEMATKAN NILAI PERPADUAN ANTARA KAUM

IMG 0641fgj

PULAU PINANG, 10 Oktober 2015 – Semangat perpaduan terus disemarakkan lagi di Universiti Sains Malaysia (USM) melalui penganjuran sambutan Pesta Tanglung kali ketiga tahun ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Dato' Seri Dr. Hilmi Haji Yahaya berkata, dengan memahami budaya tradisi pelbagai kaum, perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan berbeza budaya serta kepercayaan dapat dipupuk dan dipelihara.

"Kita patut bersyukur kerana perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia berada di tahap yang paling baik dan ini merupakan satu petanda yang baik dalam pembinaan negara kerana adanya integrasi yang rapat di antara kaum di setiap lapisan masyarakat," katanya yang merasmikan Pesta Tanglung USM tahun ini.

IMG 0648hbvh

IMG 0668fgn

Jelas Hilmi lagi, ciri-ciri kepelbagaian yang terdapat dalam masyarakat kita kini terbukti menjadi suatu kekuatan kepada negara Malaysia untuk terus membangun dan maju.

Wakil Naib Canselor USM, Syed Yusof Syed Kechik pula berkata, Pesta Tanglung ini bertujuan untuk meningkatkan semangat satu Malaysia dan juga memperkenalkan ciri-ciri kebudayaan Tiong Hua kepada semua warga USM serta mengeratkan hubungan silaturahim antara rakyat berlainan bangsa kerana budaya masing-masing dapat diketahui dan dihormati.

IMG 0687fgn

"Tidak dapat dinafikan aktiviti sebegini dapat memberi peluang kepada mahasiswa untuk menambahkan ilmu pengetahuan mereka di samping memupuk sifat kepimpinan dan mencungkil bakat yang ada pada diri sendiri," kata Syed Yusof.

Tambahnya, mahasiswa USM digalakkan untuk melibatkan diri dalam pelbagai jenis aktiviti supaya modal insan diseimbangkan dari segi jasmani, rohani, emosi dan intelek dapat dizahirkan serta melahirkan graduan yang holistik dan mempunyai nilai kebolehpasaran yang tinggi dalam dunia pekerjaan serta memiliki sifat mulia serta akhlak terpuji dan berupaya menyumbang kepada universiti.

IMG 0611jb

IMG 0626df

Pengarah Projek Pesta Tanglung USM 2015, Chua Chee Keong menjelaskan, program ini adalah untuk mengembangkan dan memperkenalkan budaya masyarakat Cina dalam kalangan warga USM.

"Selain itu, Program Kebudayaan Tahunan ini adalah untuk mengekalkan dan mempamerkan warisan dan kebudayaan Cina serta memupuk integrasi kaum di kalangan pelajar USM melalui pemahaman kepelbagaian budaya," tambahnya.

IMG 0693gh

 

Majlis turut menyaksikan penyerahan cek bernilai RM500.00 kepada Rumah Orang-orang Tua Lotus Pulau Pinang sumbangan mahasiswa USM.

Sambutan Pesta Tanglung tahun ini dimeriahkan dengan pameran dan penjualan makanan oleh penggerai-penggerai, persembahan-persembahan daripada kelab-kelab dan pelajar USM yang turut menarik perhatian termasuk gendang, nyanyian, tarian tradisional dan yoyo Cina LED.

Pesta Tanglung tahun ini diadakan di Padang Kawad USM pada 9 dan 10 Oktober 2015.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 2121

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024