WARGA SEKOLAH PENDIDIKAN KHAS SAMBUT BAIK PROGRAM ILMIAH ANJURAN USM
TANJUNG BUNGAH, 7 Oktober 2015 – Hasrat Kluster Perubatan Integratif, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menganjurkan pelbagai program bagi meningkatkan motivasi dan kemahiran dalam kalangan pelajar istimewa di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Persekutuan Pulau Pinang pada masa akan datang disambut baik oleh Pengetuanya, Ehsamuddin Abd. Rahim.
"Pihak sekolah amat berbesar hati menerima program-program seperti ini dan menyambut baik sekiranya terdapat program berbentuk ilmiah lain dianjurkan secara kerjasama dengan kami kerana pelajar perlu diberikan pendedahan luar bilik darjah bagi meningkatkan semangat dan motivasi diri mereka untuk berhadapan dengan masyarakat luar,” kata Ehsamuddin dalam ucapan dalam penutup Program Celik Herba Pelajar Keperluan Istimewa anujuran Kluster Perubatan Integratif, IPPT dengan kerjasama Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM.
Program ini telah dijalankan sebanyak tiga siri dan dua siri sebelum ini para pelajar dibawa ke IPPT untuk diberikan lebih pendedahan terhadap bidang perubatan herba.
Pelbagai aktiviti dijalankan antaranya meliputi sesi interaksi yang meliputi kuliah, aktiviti lapangan dan eksperimen di makmal bagi mendedahkan pelajar ini tentang kebaikan dan keburukan herba serta didedahkan dengan kaedah penyelidikan saintifik dalam perubatan herba, cara-cara menyediakan herbarium untuk herba dan membuat rujukan herba berdasarkan taman herba yang ada di IPPT.
Menurut Ketua Kluster Perubatan Integratif, Dr. Lim Vuanghao yang juga pengarah projek program ini, penglibatan staf dan pelajar IPPT dalam membantu menjayakan program ini sangat baik sekali.
“Dengan bantuan dan kerjasama daripada semua pihak pada hari ini, pihak IPPT telah mewujudkan sebuah taman herba di sekolah ini. Para pelajar sekolah dengan bantuan warga IPPT yang hadir telah membantu untuk menanam pokok herba yang disumbangkan oleh pihak kluster dan kita berharap para pelajar OKU ini dapat mengenali tumbuhan-tumbuhan herba dan serba sedikit mempelajari kegunaannya dalam bidang perubatan,” tambahnya lagi.
Program Celik Herba Pelajar Keperluan Istimewa ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM), USM, Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey pada Mac lalu di IPPT.
Teks: Mohd Faisal Bin Jamaludin
- Created on .
- Hits: 884