USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEMPEN KESEDARAN BAHAYA PENYAKIT DIABETES UNTUK ANGGOTA POLIS

KEPALA BATAS, 7 Oktober 2015 – Diabetes atau kencing manis tergolong dalam sepuluh jenis penyakit yang menjadi pembunuh utama kepada rakyat Malaysia.

Kencing manis ialah satu keadaan di mana paras gula dalam darah atau glukosa dalam darah lebih tinggi daripada paras normal, berlaku apabila pankreas gagal merembes dengan secukupnya hormon insulin yang membersihkan lebihan gula daripada darah.

Perkataan ‘kencing manis’ pada amnya bermaksud ‘gula di dalam air kencing’, iaitu apabila lebihan gula dalam darah memasuki air kencing. Kandungan gula dalam aliran darah biasanya ialah kira-kira satu sudu teh.

Menyedari kepentingan pendidikan kesihatan perlu diberikan kepada masyarakat tentang bahaya diabetes. Kluster Sains Kraniofasial dan Biobahan, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif mengadakan Kempen Kesedaran Bahaya Penyakit Diabetes Terhadap Prestasi Kerja Anggota Polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Kepala Batas, Pulau Pinang yang dirasmikan oleh Pengarah IPPT, Profesor Dr. Abd Aziz Tajuddin.

Menurut Abdul Aziz, kesihatan yang baik merupakan satu rahmat yang tidak ternilai dan lebih bernilai daripada wang ringgit, justeru mengamalkan pemakanan seimbang dan amalan cara hidup sihat seperti bersenam akan menyihatkan badan kita.

"Dengan program seumpama ini diharapkan masyarakat akan merasai kehadiran universiti dan memberi manfaat kepada mereka dalam bentuk penyebaran ilmu dan kepakaran," kata Abdul Aziz.Peserta kempen, Koperal Roszemi Roslan, 51, berkata, program ini sangat bagus kerana banyak memberi maklumat dan kesedaran apatah lagi dengan jadual tugasan kerja yang padat menyebabkan anggota polis tidak mengambil berat penjagaan kesihatan diri masing-masing.

"Kami harap kempen kesedaran seperti ini terus diadakan dari semasa ke semasa untuk mengingatkan anggota polis supaya menitikberatkan soal penjagaan kesihatan diri," katanya lagi.Pengarah Program, Dr. Fatanah Mohamad Suhaimi berkata, kempen ini bertujuan memberi kesedaran kepada anggota polis tentang kesan penyakit diabetes terhadap prestasi kerja dan memberi pendedahan kepada mereka tentang cara untuk menggunakan alatan bagi pemeriksaan sendiri kadar gula dalam darah.

Selain daripada aktiviti ceramah, turut diadakan pemeriksaan kadar gula dalam darah, pemeriksaan tekanan darah, pemeriksaan gigi, aktiviti pencucian tangan, klinik dengkuran, pameran klinik berhenti merokok dan pameran diabetes oleh Persatuan Diabetes Malaysia Cawangan Pulau Pinang.

Seramai 100 orang perserta yang terdiri daripada anggota polis, pegawai kanan polis dan pegawai awam telah hadir mengikuti program ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Assisten Komisioner Polis, Tuan Azmi Adam, Pemangku Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, DSP Abdul Aziz Daud, Ketua Bahagian Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah Seberang Perai Utara, DSP Saw Hock Tek dan Ketua Kluster Sains Kraniofasial dan Biobahan IPPT USM, Dr. Norehan Mokhtar.

Teks: Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid

Foto : Norizan Ishak

  • Created on .
  • Hits: 1619

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024