KELIRUKAN PENJENAYAH UNTUK ELAK MENJADI MANGSA
PULAU PINANG, 8 Oktober 2015 – Jenayah merupakan pemerdayaan di antara penjenayah dan mangsa. Antara kategori jenayah adalah jenayah tubuh badan, harta benda dan komersial. Manakala mangsa dikategorikan sebagai mangsa yang ada peluang mengikut keadaan, mangsa yang dipilih dan mangsa yang rela untuk menjadi sasaran penjenayah. Kepuasan melakukan jenayah mendorong kepada penjenayah melakukannya secara berulang.
Seminar Wanita Anti Jenayah yang dianjurkan oleh Pejabat Pembangunan Wanita, Pulau Pinang dengan kerjasama Aids Action & Research Group (AARG) dan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) berlangsung di Dewan Kuliah SK 4, PPSK, USM dengan kehadiran seramai 370 penonton.
Penganalisis Jenayah Kamal Affendi Hashim berkata, seseorang yang cuba dijadikan mangsa perlu berusaha untuk mengelirukan penjenayah untuk mengelaknya dari berlaku.
"Pelbagai cara boleh dilakukan untuk mengelirukan penjenayah bukan sahaja dari segi mempertahankan diri, malah dari melalui perbuatan mangsa itu sendiri yang mampu melekakan penjenayah dapat mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," katanya.
Jelasnya, jenayah tubuh badan selalunya berlaku pada mangsa wanita yang mempunyai fizikal yang lebih kecil dan rendah daripada penjenayah itu sendiri.
Selain dari itu, Kamal Affendi turut menasihatkan agar kaum wanita lebih berhati-hati di zaman serba moden kini supaya tidak mudah terjerat dengan tipu helah kaum lelaki dalam memperdayakan wanita untuk kes-kes jenayah.
"Dewasa ini, perkenalan melalui alam maya ini menjadi satu trend sehiinggakan wanita ini mudah tertipu dengan kata-kata manis golongan lelaki khususnya yang mahu menjadikan mereka keldai dadah dan akhirnya mampu merosakkan diri mereka sendiri apabila sudah terlibat dengan kes-kes jenayah berat, oleh itu kaum wanita haruslah berhati-hati supaya tidak terjebak dengan cinta 'Si Awang Hitam' ini," katanya lagi.
Seminar ini bertujuan memberi maklumat dan panduan bagi memperkasakan wanita dalam mengelakkan keganasan dan jenayah.
Penyelaras AARG, Profesor Madya Dr. Azlinda Azman berkata, USM menggalakkan lebih banyak agensi luar untuk bekerjasama dengan universiti untuk meningkatkan lagi kesejahteraan.
"Seminar seumpama ini mampu membantu golongan wanita dalam aspek mempertahankan diri daripada menjadi mangsa keganasan dan jenayah selain mengetahui langkah-langkah yang boleh diambil apabila berlakunya kegiatan jenayah. Saya turut berharap dengan adanya seminar ini dapat mengurangkan bilangan wanita yang menjadi mangsa keganasan pihak tidak bertanggungjawab," kata Azlinda.
Yang turut hadir ialah wakil Ketua Pengarah, Jabatan Pembangunan Wanita Malaysia Aisa Azira Abdul Aziz, Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita Pulau Pinang, Mazlyana Ramli dan Pengarah Pusat Sejahtera USM Dr. Normala Abdul Wahid.
Teks dan Foto: Zamani Abdul Rahim
- Created on .
- Hits: 1614