USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JAGA MARUAH PESAKIT MENTAL

IMG 20151010 WA0017

KUBANG KERIAN, 8 Oktober 2015 – Bersempena sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia, Jabatan Psikiatri Universiti Sains Malaysia dan Persatuan Perubatan Psikologi (PERSIKOL) menganjurkan Forum Kesihatan Mental untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga maruah pesakit mental.

Menurut Ketua Jabatan Psikiatri, Profesor Madya Dr. Zahiruddin Othman, pesakit mempunyai maruah, nilai dan hak untuk dilayan seperti manusia normal tanpa mengira status sosial, bangsa, jantina, keadaan fizikal mahupun mental seseorang individu bahkan ini turut disokong oleh Artikel Pertama Deklarasi Hak Asasi Manusia iaitu 'All human beings are born free and equal in dignity and right'.

IMG 20151010 WA0018

Dianggarkan satu daripada empat orang dewasa dan satu daripada sepuluh kanak-kanak berisiko menghadapi masalah kesihatan mental.

Statistik yang sangat tinggi ini memberi kesan negatif yang sangat besar kepada jutaan rakyat Malaysia terhadap kemampuan mereka untuk mengekalkan perhubungan sosial, pekerjaan mahupun menjalani kehidupan seharian secara normal.

Zahiruddin turut menyeru peserta untuk menyebarkan maklumat yang dipelajari melalui forum ini agar sama-sama memerangi stigma, sikap dan tingkahlaku negatif terhadap penyakit psikiatri melalui penggunaan media sosial masa kini.

IMG 20151010 WA0019

"Fokus utama saranan Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) tahun ini adalah penyebaran maklumat lengkap berkenaan tanda awal, bantuan dan perkhidmatan perawatan berhampiran agar krisis penyakit psikiatri boleh dielak sebelum ia berlaku," tambahnya lagi.

Yang Dipertua PERSIKOL, Dr Maruzairi Hussein dalam ucapannya berkata, pesakit mental perlu menjalani rawatan yang optimum untuk sembuh, masyarakat perlu sedar dengan tanggungjawab mereka dalam menerima pesakit yang telah dirawat, agar pesakit mampu berdikari dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

Ahli panel forum tersebut ialah Pakar Perubatan Psikiatri USM, Dr. Asrenee Abd Razak, Mantan Ketua Jururawat Wad Psikiatri Hospital USM, Jamilah Ismail dan Pegawai Pejabat Agama Pasir Puteh, Ustaz Suratemi Mat Yusof.

IMG 20151010 WA0020

Forum tersebut dihadiri oleh 200 orang peserta termasuk kakitangan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam merawat pesakit mental.

Teks: Mohd Hafiz Yaacob

Foto: Mohd Asrar Rokeman

  • Created on .
  • Hits: 1139

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024