CAP KTP BANTU REALISASI MELAKA BANDAR TEKNOLOGI HIJAU
PULAU PINANG, 9 Oktober 2015 – Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Projek Agenda Kritikal Program Pemindahan Ilmu (CAP KTP) berusha membantu kerajaan negeri Melaka merealisasikan Bandaraya Bersejarah Berteknologi Hijau menjadi kenyataan melalui beberapa program yang dilaksanakan di sini.
Menurut Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Md Yunos Husin, usaha yang dilaksanakan melalui Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) untuk agenda teknologi hijau kerajaan menjadi peggerak kepada projek berkaitan yang berupaya membangunkan industri yang berkaitan.
"Tiga projek bagi fasa kedua yang bernilai RM800 ribu ini bermula sejak bulan Oktober adalah satu kerjasama antara pihak KPT bersama kami," katanya.
Tambahnya lagi, tiga institusi yang bekerjasama dengan kerajaan negeri ialah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan USM.
Projek USM melibatkan pensijilan kecekapan tenaga bagi bangunan kerajaan yang belum dibuat sebelum ini bagi tenaga elektrik yang diharapkan dapat menjimatkan penggunaan tenaga elektrik.
Selain itu, dua lagi projek yang berkaitan adalah daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) yang melibatkan pengurangan sisa lemak yang terperangkap di medan selera dan ditukar menjadi biodiesel dan juga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melibatkan penggunaan solar terma bagi pengeringan makanan.
"Adalah diharapkan projek-projek ini dapat menjadikan Melaka sebagai Bandar Teknologi Hijau menjelang tahun 2020 serta kadar intensiti karbon negeri dapat diturunkan agar masyarakat dapat menghirup udara yang segar," katanya lagi.
Yang turut hadir di majlis ini ialah Naib Canselor USM yang juga pengerusi CAP KTP, Profesor Dato' Dr. Omar Osman, CEO Perbadanan Teknologi Hijau Negeri Melaka, Datuk Kamarudin Md. Shah, Setiausaha CAP KTP, Profesor Dr. Haslan Abu Hassan, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Haji Ab Ghani bin Haji Ab Hamid dan para Pengetua/Guru Besar sekolah-sekolah Negeri Melaka.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
- Created on .
- Hits: 778