USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

RISIKO PENYAKIT BERJANGKIT DALAM KOMUNITI DAN HOSPITAL

IMG 0328fgj

KUBANG KERIAN, 8 Oktober 2015 – Penyakit berjangkit merupakan penyakit yang disebabkan oleh mikroorganisma seperti bakteria, virus, fungus, protozoa, helmin/cacing dan prion. Mikroorganisma yang menyebabkan jangkitan terdapat sama ada dalam tubuh manusia, haiwan, persekitaran dan hidupan lain seperti tumbuhan.

Antara jenis penyakit berjangkit ialah Ebola, Laptospirosis, Malaria, Demam Denggi, Denggi Berdarah dan sebagainya yang diwartakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Menurut Pensyarah Perubatan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Wan Nor Amilah Wan Abd Wahab, penyakit berjangkit merupakan penyebab kematian yang kedua utama selepas penyakit kardiovaskular kerana wabak jangkitan boleh berlaku dalam komuniti atau hospital dan kadar prevalen penyakit ini secara keseluruhan meningkat dari tahun ke tahun di dunia dan di Malaysia.

“Tularan jangkitan boleh berlaku melalui sentuhan secara langsung, udara, makanan dan minuman tercemar, haiwan/vektor dan alatan/objek serta kemasukan mikroorganisma ke dalam badan manusia adalah melalui inokulasi atau tusukan sama ada kulit atau selaput mukosa melalui saluran pernafasan, makan atau minum, kontak seksual, melalui saluran darah ke uri kepada janin dan saluran kelahiran,” kata Wan Nor Amilah ketika ditemubual dalam siri Rancangan Doktor di Radio Kelantan FM.

IMG 0322n

Tambah Wan Nor Amilah, proses jangkitan dan tahap jangkitan bergantung kepada sistem imun seseorang individu dengan gejala utama bagi kebanyakan penyakit berjangkit adalah demam serta gejala tidak spesifik seperti sakit kepala, sakit otot, loya atau hilang selera makan.

Gejala lain yang spesifik melibatkan paru-paru, jantung, buah pinggang, saluran kencing, otak, saluran usus, hati dan lain-lain.

“Rawatan untuk penyakit berjangkit ini bergantung kepada gejala penyakit dan juga jenis mikroorganisma yang menjangkiti mereka dan agen antimikrob diberi sekiranya benar-benar perlu untuk pesakit berkenaan,” katanya lagi.

Selain itu, Wan Nor Amilah menjelaskan pesakit perlu dipastikan agar nutrisi dan tahap hidrasi badan mencukupi, manakala ubat demam dan ubat-ubat lain untuk merawat gejala tertentu serta komplikasi jangkitan boleh diberikan sekiranya perlu.

“Satu daripada cara untuk mengawal penularan penyakit berjangkit adalah dengan memastikan penjagaan kesihatan yang teratur dalam kalangan masyarakat,” katanya lagi.

Wan Nor Amilah turut menekankan aspek kebersihan diri, tangan, makanan, minuman dan persekitaran ialah asas yang akan mengelakkan tubuh daripada dihinggapi penyakit.

“Penjagaan kesihatan juga melibatkan aktiviti senaman dan riadah yang sistematik dan seseorang yang mengalami gejala penyakit berpanjangan perlu segera mendapatkan rawatan,” tegasnya lagi.

Teks: Mohamad Hairol Rasli
Foto: Mohd Sabri Salleh

  • Created on .
  • Hits: 2765

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024