HOSPITAL USM SIAPSIAGA HADAPI MERS-COV
KUBANG KERIAN, 6 Oktober 2015 – Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dengan kerjasama Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) menganjurkan Latihan Table Top Simulasi Middle East Respiratory Syndrome CoronaVirus (MERS-COV) yang dihadiri oleh seramai 100 orang peserta untuk menilai kesiapsiagaan Hospital USM dalam menghadapi ancaman jangkitannya tatkala umat Islam pulang dari menunaikan haji tahun ini.
Latihan ini juga bertujuan memberi kesedaran mengenai ancaman jangkitan MERS-COV serta mengenal pasti peranan dan tanggungjawab anggota kesihatan yang terlibat dalam menangani ancaman jangkitan tersebut daripada merebak.
Skop latihan simulasi program ini termasuklah menguji kesiapsiagaan di Klinik Rawatan Keluarga, Jabatan Kecemasan dan Klinik Pergigian dalam pengurusan kes PUI MERS-COV bermula dari saringan, infeksi, notifikasi kes, rujukan kes dan pengurusan staf terlibat dalam pengendalian kes.
Latihan simulasi ini juga termasuk menguji kesiapsiagaan di wad, makmal dan unit forensik dari segi saringan, isolasi pesakit, pengurusan klinikal pesakit, pencegahan dan kawalan infeksi, pengendalian spesimen, pengurusan jenazah dan pengurusan staf hospital.
Menurut Ketua Jabatan Kecemasan Dan Trauma HUSM, Dr Abu Yazid Mohd Noh, pengurusan dan pengendalian kes MERS-CoV mengikut standard Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) namun USM mengambil pendekatan untuk menambahbaik prosedur dalam pengurusannya.
“Dengan adanya Latihan Table Top Simulasi MERS-COV ini diharapkan dapat menambahkan pengetahuan staf dengan ilmu dan perkembangan semasa mengenai wabak ini bersesuaian dengan musim umat Islam pulang dari tanah suci Mekah,“ ujarnya.
Penolong Pengarah Kanan Kejururawatan HUSM, Puan Raudzah Ariffin pula berkata, melalui penerangan yang jelas, kursus sebegini baik untuk pengetahuan terutamanya dalam kalangan jururawat baharu bagi mengendalikan kes-kes pesakit MERS-COV.
“Komitmen yang diberikan oleh semua pihak dapat menyuntik semangat dalam menjalankan tugas mengikut Standard Prosedur yang ditetapkan,” katanya.
Peserta diberi pendedahan mengenai pengurusan sampel pesakit, penerangan mengenai penyakit berjangkit dan cara mengendalikannya serta demonstrasi pemakaian Personnel Protection Equipment (PPE) dan prosedur ‘Decont’.
Yang turut hadir sebagai ahli panel dan penceramah latihan ini ialah Timbalan Pengarah Kanan Klinikal Dr. Nik Min Ahmad, Timbalan Pengarah Klinikal merangkap Pengerusi program Dr. Mohammad Rosdi Abdul Rahman, Pakar Perubatan/pensyarah Kecemasan dan Trauma Dr. Nik Arif Nik Mohamad, Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit Dr. Alwi Muhd Beseri, Pakar Perubatan Mikrobiologi Profesor Madya Dr. Zaidah Abdul Rahman Pakar dan Pakar Perubatan Dr. Nadiah Hanim Zainol.
Teks: Abdul Aziz Latif & Nik Sheila Erini Che Mat Kamel
Foto: Mohd Asrar Rokeman
- Created on .
- Hits: 1533