PASUKAN ENACTUS USM RAIH ANUGERAH PERTANDINGAN MYUNIROCKS 2015
BUKIT KIARA, 6 Oktober 2015 - Pasukan ENACTUS USM dari Sekretariat Keusahawanan, Universiti Sains Malaysia (USM) meraih anugerah 2nd Best Idea dalam Pertandingan MyUniRocks 2015 anjuran 1 Malaysia for Youth (IM4U) dengan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM15,000.00 baru-baru ini.
Pasukan tersebut terdiri daripada tiga orang anak muda yang kreatif dan proaktif iaitu Tan Jia tahun 2 dari Pusat Pengajian (PP) Pengurusan, Yong Chee Yan, tahun 3 dari PP Komunikasi dan Koo Wai Heng, tahun 4 PP Teknologi Industri.
Mereka berentap dengan 100 orang pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S) sebelum berjaya dipilih sebagai 5 Idea Terbaik.
"Idea projek kami bertajuk ‘3shaw Project’ yang bertujuan menaiktaraf ekonomi penarik beca di sekitar Pulau Pinang melalui perniagaan perkhidmatan beca yang dijalankan di samping membantu memperkembangkan sektor Pelancongan Pulau Mutiara ini," kata Pengarah Projek 3shaw, Koo Wai Heng.
"Projek ini akan dilaksanakan pada tahun ini yang hasilnya akan dipertandingkan pada ENACTUS Malaysia National CUP 2016 dan harapan kami supaya beroleh kemenangan seperti pada tahun 2014 yang lalu," tambah Wai Heng lagi.
Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA), Dr. Nazarudin Zainun mengucapkan syabas kepada ENACTUS USM dengan anugerah yang dimenangi.
"Anugerah tersebut diharapkan menjadi landasan kepada mereka untuk bergerak maju ke hadapan membawa Konsep Keusahawanan Hijau dalam Pembangunan Keusahawanan Siswa USM," kata Nazaruddin.
ENACTUS USM merupakan sekretariat pelajar bernaung di bawah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Sahsiah Pelajar, BHEPA sejak 2011 untuk menjayakan Konsep Keusahawanan Sosial.
Teks dan foto sumbangan BHEPA.
- Created on .
- Hits: 1290