MARTABATKAN KESUSASTERAAN MELAYU KEPADA GENERASI MUDA – NC
PULAU PINANG, 5 Oktober 2015 – Usaha memartabatkan bahasa dan sastera perlu diperkukuhkan tatkala minat terhadapnya makin kurang mendapat sambutan khususnya generasi muda pada hari ini.
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan USM perlulah bekerjasama lebih rapat dalam aktiviti memartabatkan bahasa, sastera, seni dan budaya bersama-sama melalui persefahaman yang lebih utuh secara rasmi termasuk kerjasama penerbitan buku bersama secara lebih lestari.
“USM bolehlah menjalankan kerjasama bersama-sama DBP dalam pengedaran buku, menjana buku DBP USM selain boleh mewujudkan Kelab Buku dan sebagainya yang boleh mendorong dan melestarikan aktiviti memartabatkan penerbitan, pembacaan buku dan pembangunan ilmu secara besar-besaran,” katanya lagi.
Tambah Omar lagi, usaha seumpama ini mampu meningkatkan lagi semangat perpaduan negara secara menyeluruh selain memperkasakan pelbagai bidang ilmu kepada pelajar USM dengan melihat peluang yang jauh ke hadapan dalam memberikan impak ilmu kepada khalayak terutamanya kepada masyarakat kita.
“Walaupun USM dikenali sebagai sebuah universiti yang menawarkan bidang sains, namun kita mahu tonjolkan pemerkasaan pengajian Sains dan Teknologi melalui penarapan seni, sastera dan budaya dalam membangunkan negara mengikut acuan dan jati diri bangsa Malaysia,” katanya dalam ucapan sambutan di Majlis Perasmian Siri kelima Wacana Sulalatus Salatin dan Program Penataran Manuskrip Melayu di Dewan Persidangan Universiti USM di sini, hari ini yang dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Haji Abbas.
Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Haji Awang Sariyan pula berkata, program seumpama ini dapat memberi pendedahan dan latihan kepada generasi baharu bagi mendalami aspek filologi dan mengkaji sesebuah manuskrip Melayu.
“DBP membuka pintu seluas-luasnya kepada para cendekiawan daripada pelbagai disiplin ilmu untuk bersama-sama kongsi kepakaran yang sesuai bagi merangka program-program penyelidikan dan penulisan yang dapat memperkaya khazanah persuratan ilmu dan sastera tanah air,” kata Awang.
Jelasnya lagi, program wacana pada hari ini akan menjadi medan kepada para sarjana, pengarang, sasterawan dan peminat bahasa dan persuratan melayu untuk memungar kekayaan Sulalatus Salatin dan teks yang berkaitan.
“Diharap usaha ini akan dapat menyelongkar kekayaan hasil khazanah warisan persuratan kita, seterusnya dapat merangka strategi untuk menyemarakkan penghasilan bahan kajian bermutu terhadap manuskrip-manuskrip Melayu yang masih banyak tersimpan di serata dunia,” tambahnya lagi.
Ucap utama disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Dato’ Seri Dr. Md Salleh Yaapar bertajuk Sulalatus Salatin: Satu Bacaan Hermeneutika Dekonstruktif yang mengupas manuskrip Melayu lama ini dari perspektif yang tidak dinilai oleh pengkritik lain.
Wacana yang berlangsung selama dua hari ini anjuran bersama bahagian Kesusasteraan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM dan DBP akan mengupas manuskrip lama Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu yang dipercayai ditulis oleh seorang pembesar bertaraf Bendahara Kerajaan Johor, Bendahara Paduka Raja Tun Muhammad atau bergelar Tun Seri Lanang pada tahun 1612 di Bukit Seluyut, Kota Tinggi Johor dan telah berusia 400 tahun pada tahun 2012.
Sulalatus Salatin telah diwartakan sebagai warisan dunia, Memory of the World Register oleh UNESCO menjadi sumber rujukan dalam menyusur galur asal-usul Kesultanan Melayu dan Pemerintahannya selain naskah ini turut kaya dengan citra peradaban dan ketamadunan bangsa Melayu dalam pelbagai bidang politik, agama, ekonomi, sosial dan budaya.
Selain itu, Penataraan Manuskrip Melayu juga akan diadakan dalam memberi pendedahan khususnya kepada para pelajar dalam mendalami aspek filologi dan seterusnya mengkaji sesebuah manuskrip lama.
Teks: Syuhada Abd Aziz
Foto: Mohd fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 2845