HADAPI JEREBU DENGAN TENANG, ELAK PANIK
PULAU PINANG, 5 Oktober 2015 – Semua pihak dinasihatkan untuk menghadapi fenomena jerebu dengan tenang bagi mengelak situasi panik bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil langkah paling tepat bagi menangani masalah berkenaan.
Ahli akademik Universiti Sains Malaysia (USM) yang menjalankan kajian pencemaran udara, Profesor Dr. Nor Azam Ramli berkata, kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang patut mengikut garis panduan yang ditetapkan bagi menangani keadaan pencemaran serantau ini.
Keadaan berjerebu dikaitkan dengan kepekatan partikel halus terampai di udara diketahui umum boleh mengurangkan jarak penglihatan dan kesihatan.
"Namun selagi kita mengamalkan langkah pencegahan, kesan daripada jerebu dapat dikawal terutamanya bagi mereka yang sememangnya berisiko dan sensitif seperti penghidap penyakit gangguan pernafasan," kata Nor Azam.
Katanya, perkara penting untuk dilakukan oleh masyarakat adalah bertenang dan teruskan aktiviti seharian dengan mengambil langkah-langkah pencegahan seperti memakai penutup hidung dan penitik mata untuk lindungi kesihatan, serta memasang lampu kenderaan jika jarak penglihatan berkurangan untuk keselamatan di jalanraya.
Aktiviti luaran yang tidak perlu juga boleh dikurangkan mengikut nasihat pihak berkuasa.
Nor Azam mengetuai kumpulan penyelidikan dalam kajian Environmental Assessment and Clean Air di Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam USM serta telah mula menjalankan kajian mengenai jerebu sejak 1996.
Katanya, fenomena jerebu bukanlah perkara baharu dan telah lama berlaku, malah ia mula dilaporkan oleh pelayar di Selat Melaka sejak sebelum kurun ke 18 lagi.
Kita perlu fahami perubahan diurnal kepekatan pencemaran udara yang dipengaruhi oleh cahaya matahari dan hubungkaitnya dengan proses alamiah seperti pergerakan angin, arah angin, hujan dan perubahan suhu harian.
Tambah Nor Azam, di Malaysia kebanyakan stesen-stesen pengukuran indeks pencemaran udara dioperasikan di tempat-tempat strategik untuk mewakili kawasan-kawasan tertentu, termasuk di kampus USM, oleh Jabatan Alam Sekitar Malaysia.
Malah katanya, alatan pengukuran tersebut diiktiraf di bawah "Title 40, Part 53 of the Code of Federal Regulations (40 CFR Part 53) seperti yang digariskan United State Enviromental Protection Agency (USEPA), Jun 2015.
“Malaysia turut mempunyai tahap amaran - Warning Level - iaitu bila mana bacaan IPU melebihi paras 300, maka kita perlu mengambil langkah-langkah lebih tegas termasuk mengurangkan aktiviti umum di sekeliling kita,’’ katanya.
Mengulas lanjut ujarnya, adakalanya timbul kekeliruan umum dalam bacaan IPU kerana kaedah pengukuran pencemar dan perkiraan adalah berbeza di antara satu negara dengan negara yang lain. “Di negara ini misalnya, IPU mengambil data purata 24 jam. Ada juga di tempat lain yang purata bacaan lebih pendek, termasuk tiga jam atau jam berkenaan (near realtime) atau mungkin bacaan ramalan jam seterusnya,’’ katanya.
Sungguh pun begitu tambahnya, ia menggunapakai indeks yang sama iaitu bacaan di sehingga 50 adalah baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat, 301-400 tahap amaran, 401-500 tahap kecemasan dan 501 ke atas – tahap amat berbahaya. Nor Azam turut menyarankan pada ketika ini walaupun negara mempunyai Peraturan Udara Bersih 2014, tumpuan boleh juga diberikan kepada usaha menambahbaik pengurusan pencemaran udara termasuk melihat bagaimana ramalan dapat dibuat untuk meningkatkan kebolehkesanan 'jerebu' dengan lebih tepat dan mengikut masa sebenar.
“Sehingga kini apa yang telah dibuat oleh negara sudah memadai di kesemua 52 stesen pengukuran namun cadangan boleh dibuat untuk menambahbaik bagi meningkatkan kebolehgunaan data yang dicerap untuk memberi maklumat lebih jelas kepada umum,’’ katanya. Tambahnya, sebagai masyarakat dalam sebuah negara, perkara paling utama dan mustahak dipraktikkan adalah bertenang dan bekerjasama mencapai ketenteraman awam.
“Kita juga perlu menghadapi keadaaan alam yang disebabkan oleh kebakaran rentas sempadan ini dengan berhemah dan hanya dengan bertenang membolehkan kita menghadapi perkara ini dengan baik, tenteram dan mencapai lebih banyak kejayaan,’’ katanya.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1314