JEREBU: USM TANGGUH KULIAH ESOK
PULAU PINANG, 4 Oktober 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil keputusan menangguhkan semua kuliah esok, Isnin 5 Oktober 2015 kerana keadaan jerebu yang makin buruk.
Pendaftar USM Siti Zubaidah A. Hamid dalam kenyataan yang baharu dikeluarkan berkata, dengan keadaan persekitaran negara yang dilanda jerebu tebal dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) semasa di USM telah mencapai kategori sangat tidak sihat 189 menghampiri bacaan 200 pada ketika ini serta sebagai langkah berjaga-jaga dengan situasi semasa, USM memutuskan bahawa semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran (kuliah dan tutorial) serta semua aktiviti lapangan luar yang telah dijadualkan pada 5 Oktober 2015 ditangguhkan.
"Penangguhan ini melibatkan Kampus Induk Pulau Pinang, Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Bertam," kata Siti Zubaidah.
Jelasnya, tindakan Universiti bagi urusan penangguhan ini melibatkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta semua aktiviti lapangan luar di kampus-kampus yang dinyatakan manakala bagi Kampus Kesihatan Kelantan adalah tertakluk kepada bacaan semasa IPU di negeri Kelantan serta dengan perakuan Naib Canselor.
"Namun begitu, semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang ditangguhkan perlu diganti dan dijadualkan semula mengikut kesesuaian oleh Pusat Pengajian masing-masing manakala penangguhan aktiviti pengajaran dan pembelajaran pada hari-hari berikutnya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya lagi.
Siti Zubaidah menasihatkan agar semua staf dan pelajar mematuhi SOP Pengurusan Jerebu USM dengan memastikan langkah-langkah pencegahan diambil bagi mengelakkan masalah kesihatan.
Operasi Perkhidmatan Rawatan Kesihatan bagi kes jerebu di Pusat Sejahtera Kampus Induk dan Kampus Kejuruteraan dari jam 8.00 pagi hingga 7.00 petang manakala IPPT Bertam dan Hospital USM beroperasi 24 jam untuk staf dan pelajar.
Walau bagaimanapun, Pendaftar USM juga menjelaskan yang operasi harian pejabat dan semua jabatan pada 5 Oktober 2015 adalah seperti biasa namun semua staf pejabat yang bertugas tidak dibenarkan melakukan aktiviti luar.
Maklumat lanjut mengenai isu jerebu boleh didapati dari laman sesawang www.pusatsejahtera.usm.my atau menghubungi talian hotline Bilik Operasi Jerebu USM di talian 04-6534948.
Teks: Mohamad bin Abdullah
- Created on .
- Hits: 1671