LARIAN AMAL BEBAS TEMBAKAU DAPAT SAMBUTAN WARGA USM
PULAU PINANG, 4 Oktober 2015 - Demi memperkasakan kempen USM sebagai kampus bebas tembakau pertama di Malaysia, Program Rancangan Khidmat Masyarakat (RKM) bersama-sama MySihat USM menganjurkan Larian Amal Bebas Tembakau (LABT) pagi Sabtu lalu.
Larian yang bertemakan "Stand Out. Speak Out. Seize Out" ini bermaksud persekitaran yang bebas daripada puntung dan asap rokok serta bebas juga daripada sebarang bentuk pengiklanan, promosi, penajaan, penjualan dan penggunaan semua jenis produk berunsurkan tembakau.
Menurut Ketua Projek, Masrizwan Shah bin Marzuki, 21, dari PP Sains Kemasyarakatan, objektif program ini adalah untuk mempromosikan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai kampus bebas tembakau dan menggalakkan pelajar USM terus berada dalam keadaan sihat di samping beramal.
"Sebahagian dari wang keuntungan dari pendaftaran peserta program ini akan disumbangkan kepada Rumah Anak Yatim Darusalam, Ipoh Perak," katanya.
Masrizwan bersyukur kerana projek ini mencapai matlamat serta mendapat sambutan hangat daripada warga USM, serta berharap akan diteruskan pada masa akan datang iaitu LABT 2.0.
Pemenang larian ini adalah pelajar USM, Tee Kien Hing (kategori Lelaki) dan Nor Afifah Supardy (kategori Wanita) yang masing-masing membawa pulang hamper dan sijil.
LABT ini disertai oleh 600 orang peserta terdiri daripada pelajar dan staf USM di sekitar kampus induk USM bermula dan berakhir di Stadium USM.
Yang turut hadir ke program ini adalah Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk USM Bebas Tembakau yang merasmikan program ini, Profesor Madya Razak Lajis, Pengerusi Rancangan Khidmat Masyarakat USM, Dr Normah Abdul Latip, Penasihat Projek Sazaroni Md Rashid, Yang Dipertua MySihat USM Mohd Elmie Fitri dan ahli jawatankuasa program LABT.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto: Masrizwan Shah Marzuki
- Created on .
- Hits: 1186