PELAJAR DIMINTA KURANGKAN AKTIVITI LUAR ELAK JEREBU
PULAU PINANG, 4 September 2015 - Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) diminta supaya mengurangkan aktiviti fizikal luar bagi mengelak pencemaran udara akibat jerebu yang semakin membimbangkan.
Pihak universiti menyarankan semua pelajar di ketiga-tiga kampus terutamanya di Pulau Pinang sentiasa berada di dalam bangunan atau di bilik atau sekiranya terpaksa berada di luar, dinasihatkan supaya menggunakan penutup hidung dan mulut (mask).
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA), Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Adnan Hussein berkata pihak universiti sentiasa mengambil maklum pencemaran udara akibat jerebu yang semakin buruk hingga hari ini.
"Saya amat berharap para pelajar dapat mengikuti panduan dan tatacara menghadapi cuaca buruk ini bagi mengelakkan masalah kesihatan dan perkara buruk yang lain."
Dalam kenyataan rasmi garis panduan pencegahan menghadapi masalah jerebu kepada pelajar, Adnan memaklumkan yang penutup hidung dan mulut (mask) akan diedarkan secara berperingkat-peringkat oleh Pusat Sejahtera melalui pejabat pengurusan Desasiswa-Desasiswa.
Bagi pelajar tanpa asrama (PETAS), boleh terus dapatkan di Pusat Sejahtera.
Tambahnya, sekiranya pelajar menghadapi kesan sampingan akibat jerebu, mereka perlu terus ke Pusat Sejahtera yang dibuka sehingga jam 10.00 malam untuk mendapatkan rawatan kesihatan.
Adnan turut menegaskan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada paras 150, semua program dan aktiviti luar hendaklah dihentikan atau ditangguhkan.
"Pelajar boleh mendapatkan maklumat semasa dan hebahan terkini mengenai jerebu yang hanya dikeluarkan secara rasmi oleh Bilik Operasi Jerebu di Pusat Sejahtera USM.
"Saya amat mengharapkan supaya semua pelajar dapat memberikan perhatian yang serius terhadap penasihatan ini dan mematuhi arahan yang ditetapkan dari semasa ke semasa oleh pihak universiti demi kesejahteraan bersama," katanya.
Maklumat dan pertanyaan lanjut, sila berhubung melalui talian berikut:
Bilik Gerakan Operasi Jerebu USM: 04-6534948/4938
Jabatan Keselamatan: 04-6573970/4333/4334
Kaunter Pusat Sejahtera: 04-6534900/4950/4902
Laman Web: www.pusatsejahtera.usm.my
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 855