DIABESMILE COOKIES PEROLEH GANGSA DALAM NATIONAL INNOFEST 2015 - INOVASI UNTUK PENGHIDAP DIABETES
PULAU PINANG, 4 Oktober 2015 - DiabeSmile Cookies ialah satu inovasi makanan fungsi dan alternatif untuk penghidap diabetes serta masyarakat umum.
Menurut pelajar program nutrisi PP Sains Kesihatan (PPSK), Ng Sze Han, 27, yang memenangi gangsa dalam pertandingan ini, makanan ini adalah kombinasi serbuk kayu manis sebagai sebahagian pengganti untuk gula manakala serbuk cendawan tiram (oyster mushroom) Pleurotus Sajor-Caju (PSC) pula sebagai sebahagian pengganti untuk tepung gandum yang diinovasikan.
"Makanan ini tinggi serat (8%) dan rendah dalam indeks Glisemik (GI) (49), yang melambatkan penghadaman karbohidrat dan tahap penyerapan tahap glukosa dalam usus, meningkatkan tindak balas glisemik selain memanjangkan tempoh kekenyangan dengan memperlahankan tindak balas gastrik bagi mengatasi masalah makan berlebihan dan obesiti," kata Sze Han.
Tambahnya, produk ini dapat dikomersilkan di pasaran sebagai makanan serat alternatif untuk semua kerana dari segi aroma, rasa, penampilan dan tekstur, ia mendapat sambutan baik daripada pengguna dan pengunjung semasa hari pertandingan.
Menurut Wakil Dekan PP Sains Kesihatan, Prof. Madya Wan Rosli Wan Ishak ketika menghadiri majlis penutup National Innofest 2015 yang juga penyelia Ng Sze Han, pertandingan ini adalah platform yang penting untuk generasi muda mempamerkan hasil inovasi mereka serta penyertaan buat kali pertama daripada peringkat sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi membuktikan generasi muda negara sangat berinovasi dan kreatif dengan produk-produk yang telah mereka ciptakan.
"Pembudayaan inovasi sangat penting untuk dijelmakan dan disokong oleh semua pihak, sokongan daripada pelbagai agensi kerajaan serta pihak swasta akan membantu ciptaan-ciptaan ini dan akan menjadi katalis kepada lebih banyak lagi ciptaan baru daripada pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi," katanya lagi.
Tambah Wan Rosli, diharapkan penyertaan bagi pertandingan ini akan bertambah pada tahun hadapan agar saingan akan lebih sengit dan ciptaan-ciptaan yang dipertandingkan akan lebih kompetitif.Objektif pertandingan ini adalah untuk meningkatkan kemahiran serta memupuk inovasi dan kreativiti dalam kalangan pelajar, sebagai platform pelajar menyumbang idea dan inovasi bidang masing-masing serta menunjukkan kebolehan mewujudkan sesuatu yang berguna, mewujudkan pusat kecemerlangan berperanan utama untuk pembangunan memupuk bakat ciptaan dan inovasi lebih kompetitif dan akhir sekali sebagai jaringan strategik untuk perkongsian pintar dengan organisasi kerajaan, bukan kerajaan, institusi pendidikan, persatuan usahawan dan organisasi swasta di seluruh negara.
Juri terdiri daripada golongan profesional dan pensyarah berpengalaman yang pakar dalam setiap kategori yang dipertandingkan iaitu kategori teknikal dan pengurusan yang memperincikan bidang kejuruteraan, sains komputer, sains tulen, sains kesihatan dan sains persekitaran/kelestarian dan penyertaan terbuka kepada sekolah menengah, universiti awam dan universiti swasta.
Sebanyak 14 penyertaan diterima pada pertandingan tahun ini dan keputusannya adalah seperti berikut di mana kategori sekolah Emas (Farisian Cemerlang, Sek. Men. Sains Faris Petra), Perak (Starship Crew, MRSM Jeli). IPT pula Emas (Shrimp and Coconut, Kolej Mara Kulim), Perak (Alocasia, Kolej Mara Kulim) dan Gangsa (Diabesmile Cookies, USM). Anugerah Khas pula dimenangi Galangal (PPKS UMK) dan Signal Proof (Kolej Mara Kulim). Penyampai terbaiik dimenangi oleh Muhammad Amzar (SMS Faris Petra) dan Nur Alia Izzati (Moringaboost, Kolej Mara Kulim).
National Innofest 2015 berlangsung dari 1 hingga 3 Oktober 2015 di Kampus Kesihatan USM.Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto: Ehsan dari Ng Sze Han
- Created on .
- Hits: 1459