RAMZANEE RAMLI, MOHAMAD KAMIL JUARAI MALAM BINTANG USM 2015
PULAU PINANG, 3 Oktober 2015 – Ramzanee Ramli, 31, dari Pusat Sukan dan Rekreasi, Kampus Induk dengan lagu yang berjudul ‘Potret’ telah memenangi juara Bintang USM kategori warga staf manakala bagi kategori warga pelajar pula dimenangi oleh Mohamad Kamil Mohd Sofi, 22 dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Kampus Kejuruteraan yang menyanyikan lagu berjudul ‘Rindu Bertandang Lagi’ malam tadi.
Mereka membawa pulang wang tunai RM 1,000.00, piala pusingan, trofi iringan, sijil penyertaan, hamper serta hadiah tajaan yang lain.
“Peserta yang tidak berjaya boleh mencuba lagi pada pertandingan akan datang, jangan pendamkan bakat yang ada," kata Ramzanee.
Mohamad Kamil pula berkata pertandingan ini suatu pengalaman yang baharu kerana dapat banyak belajar cara penggunaan suara semasa diberi latihan sebelum pertandingan.
Pertandingan Nyanyian Bintang USM 2015 dianjurkan oleh Pusat Pengajian Seni (PPS) dan Dewan Budaya di Auditorium Dewan Budaya yang mendapat sambutan hangat dari lebih 500 orang penonton.
Menurut Pengarah Projek, Ramnah Ramli, 49, dari Dewan Budaya, pertandingan ini diadakan dua tahun sekali sebagai salah satu usaha mencungkil bakat baharu dalam kalangan warga staf dan pelajar dalam bidang nyanyian untuk menyertai pelbagai aktiviti seni universiti yang akan datang.
Sesi uji bakat telah diadakan secara berperingkat di semua kampus USM. Seramai 16 orang peserta yang berjaya dipilih masuk ke peringkat akhir.
“Saya merakamkan terima kasih kepada Pejabat Naib Canselor, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Pejabat Pengarah Kampus, Perpustakaan Hamzah Sendut, syarikat-syarikat dan individu-individu yang memberi tajaan untuk menjayakan pertandingan ini,” kata Ramnah.
Sementara itu, Mohd Azhar Abu Bakar, 49, atau lebih dikenali sebagai Azmeer, komposer tersohor negara berkata, para peserta diberi taklimat dan latihan tentang nyanyian supaya lebih bersedia sebelum pertandingan.
Azmeer selaku ketua juri berharap pertandingan seumpama ini akan berterusan lagi.
Persembahan terbaik dimenangi oleh Siti Fatin Qhalilah Osman Bashah, 24, dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Kampus Kejuruteraan dengan dendangan lagu berjudul ‘Set Fire To The Rain’.
Turut hadir ke pertandingan ini ialah Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein, Dekan PP Seni, Prof. Madya Mohamad Omar Bidin dan Pemangku Bendahari, Dr. Rohayati Mohd Isa.
Teks & Foto: Zamani Abdul Rahim
- Created on .
- Hits: 1179