USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

JEREBU: USM TERUS BERJAGA-JAGA DAN BUKA BILIK GERAKAN

PULAU PINANG, 4 Oktober 2015 - Memandangkan keadaan jerebu yang makin buruk, Universiti Sains Malaysia (USM) menasihatkan para pelajar dan warga lainnya untuk tidak mengadakan aktiviti luar di semua kampusnya di Pulau Pinang, Bertam, Nibong Tebal dan Kubang Kerian Kelantan.

"USM telah pun menggerakkan Bilik Gerakan Jerebu sejak beberapa minggu lalu di Pusat Sejahtera USM Pulau Pinang dan meminta agar usaha yang sama digerakkan segera di Kampus Kejuruteraan dan Bertam manakala Kampus Kesihatan apabila keadaan memerlukan," kata Naib Canselor Profesor Dato' Dr. Omar Osman.

Tambah Omar, Panduan Pentadbiran (SOP) pengurusan jerebu telah pun dikeluarkan oleh USM yang boleh diikuti di laman sesawang www.pusatsejahtera.usm.my.

Antara lain SOP ini menyebut apabila IPU 130 (Indeks Pencemaran Udara), semua aktiviti luar bangunan melibatkan pelajar dan staf perlu dihentikan dan apabila IPU 200 semua aktiviti termasuk kuliah ditangguhkan.

Keputusan rasmi aktiviti akademik untuk menangguhkan kuliah akan dikeluarkan oleh Naib Canselor manakala semua kemudahan Pusat Sukan dan Rekreasi yang digunakan oleh warga kampus dan orang awam akan ditutup sekiranya berada di paras IPU 200.

Penasihatan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti di luar bangunan hanya dikeluarkan oleh Bilik Operasi Jerebu di Pusat Sejahtera USM.

Sementara itu, Pengarah Pusat Sejahtera Dr. Normala Abdul Wahid memaklumkan yang Pusat Sejahtera USM di Kampus Induk dan Kampus Kejuruteraan beroperasi seperti biasa untuk memberi rawatan kepada pelajar manakala di Kampus Bertam sedia beroperasi 24 jam.

"Ini adalah ekoran daripada keadaan jerebu yang semakin meningkat indeks pencemarannya dan kami ingin menasihatkan agar pelajar dan warga kampus tidak melakukan aktiviti luar," kata Normala.

Warga USM terutamanya pelajar dinasihatkan menyemak keadaan semasa jerebu dan mematuhi SOP dan Garis Panduan yang ada seperti tertera dalam laman web Pusat Sejahtera USM.

Teks: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 1267

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024