USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

GABUNG KEPAKARAN: USM CADANG TUBUH PUSAT MEDIA DAN PUSAT PERISIAN

IMG 0142fg

PULAU PINANG, 3 Oktober 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) bercadang menubuhkan Pusat Media (Media House) serta Pusat Perisian (Software House) dengan menggabungkan segala kepakaran bagi memperkasa gedung ilmu dan memberi impak kepada komuniti secara menyeluruh.

Naib Canselornya, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, kedua-dua pusat berkenaan bakal menggabungkan mereka yang berkepakaran dalam bidang yang berkaitan untuk manfaat Universiti secara lebih besar.

Katanya, Software House misalnya akan berupaya menjadi tumpuan dalam bidang aplikasi dengan gabungan mereka yang pakar dalam bidang teknologi, perisian, kejuruteraan dan sebagainya.

“Begitu juga dengan Pusat Media yang akan menggabungkan semua pengamal media di Universiti ini termasuk pelajar, kakitangan pentadbiran, pensyarah dan sebagainya dalam mendukung dan melonjakkan nama Universiti,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi sarapan dan sembang santai bersama warga Pusat Pengajian Komunikasi (PPK), kakitangan Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC) dan para pelajar tahun akhir PPK yang bertanggungjawab dalam penerbitan Berita Kampus (BK).

Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal; Pengarah MPRC, Mohamad Abdullah; Dekan PPK, Profesor Madya Jamilah Ahmad dan Dekan Pusat Pengajian Seni, Profesor Madya Mohd Omar Bidin.

Tambah Omar, kewujudan pusat seumpama itu bukan sekadar dapat menghimpunkan pakar dalam bidang yang sama namun dapat juga menggunakan segala peralatan dan kemudahan secara lebih efektif dan optimum.

“Universiti boleh memperuntukkan dana bagi menyediakan segala kelengkapan yang diperlukan dalam usaha kita untuk memastikan universiti bukan sahaja dirujuk oleh pelbagai pihak di negara ini namun juga menjadi terkenal di persada antarabangsa,’’ katanya.

Mengulas pemerkasaan penerbitan Berita Kampus (BK), sebuah akhbar makmal yang mula diterbitkan pada 1971 oleh para pelajar Komunikasi Kewartawanan, beliau berkata BK seharusnya sudah mula meneroka peluang baru seiring dengan perkembangan teknologi semasa.

Sebagai contoh katanya, BK sudah menjadi satu jenama yang dikenali dan boleh mengembangkan berita-beritanya secara online dan menjadi newsfeed portal kepada komuniti untuk mengoptimumkan pemberitaan maklumat-maklumat Universiti.

“Selain menjadi suara menara ilmu, portal ini nanti pada akhirnya akan menjadi platform untuk pengembangan kemahiran dan kerjaya pelajar, menaikkan nama pusat pengajian dan Universiti secara menyeluruh dengan berita-berita yang berkualiti.

“Semua pihak mempunyai peranan untuk dimainkan dan para pelajar perlu proaktif mencari sumber berita dan menukar paradigme berfikir mengikut situasi semasa seiring dengan perkembangan teknologi dan peredaran maklumat yang pantas,’’ katanya.

Teks: Marziana Mohamed Alias

Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 724

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024