USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

FORUM KUPAS PENCAPAIAN NEGARA DALAM BIDANG EKONOMI MENJELANG TAHUN 2020

 A020033

PULAU PINANG, 3 Oktober 2015 – Ekonomi berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 merupakan antara perkara penting yang ingin dicapai oleh Malaysia selaras dengan agenda Wawasan 2020 yang dihasratkan oleh kerajaan.

Menurut Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali, pertumbuhan ekonomi negara perlu diukur dengan melihat secara terperinci perancangan pelan hala tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) serta rangka kerja dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan mengurangkan peranan kerajaan dalam perniagaan (SRI) yang akan menjurus kepada matlamat Program Transformasi Ekonomi (ETP) Malaysia.

“Jika sesebuah negara mempunyai banyak pertumbuhan tetap dari segi transformasinya kurang, merealisasikan konsep negara maju akan sedikit terbantut, jadi kita perlu bertanya adakah negara kita sudah benar-benar maju? Ianya perlu diukur dari segi aktiviti ekonomi, banyaknya pelaburan dan perkara lain yang berkaitan,” katanya yang merupakan salah seorang panel dalam Forum Ekonomi bersama Majlis Profesor Negara sempena 11th Asian Academy of Management International Conference 2015 di Hotel Parkroyal Pulau Pinang kelmarin.

 A020019

Tambah Noor Azlan yang bercakap tentang tajuk Rancangan Malaysia ke-11 Sebagai Pemangkin dalam Mencapai Ekonomi Berpendapatan Tinggi, kita perlu berfikiran di dalam dan luar kotak dalam melaksanakan sebarang keputusan untuk pembangunan negara dan tukarkan perkara yang merbahaya kepada yang selamat, kotor kepada bersih dan sukar kepada senang (dangerous-safe/dirty-clean/difficult-easy).

Sementara itu, Ketua Penasihat Teknikal dan Korporat Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara (NCIA), Hasri A. Hassan pula berkata, NCIA yang bertanggungjawab dalam pembangunan ekonomi di koridor utara yang meliputi negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak akan memberi fokus pada 4 teras utama ekonomi iaitu pertanian, pembuatan, pelancongan dan logistik untuk mencapai ekonomi berpendapatan tinggi di koridor ini.

“Objektif NCIA adalah untuk memaksimumkan potensi ekonomi di kawasan ini, merapatkan jurang pembangunan dan pendapatan antara kawasan-kawasan di Malaysia, bergerak ke arah nilai tambah yang tinggi melalui aktiviti ekonomi berasaskan pengetahuan dan mencapai pertumbuhan dengan ekuiti sosial,” ulas Hasri yang mewakili Ketua Pegawai Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak.

 A020037

Kata Hasri lagi yang berucap sebagai ahli panel kedua, transformasi melalui strategi ‘big push’ diperlukan untuk membawa kita terus maju ke hadapan yang meliputi komitmen serta kerjasama dalam perancangan dan penyampaian daripada semua pihak berkepentingan, kewangan dari sektor awam dan swasta serta kepimpinan tempatan perlulah kukuh.

Bagi Senior Partner KPMG, Ooi Kok Seng pula, peranan pihak swasta dalam meningkatkan pendapatan ekonomi khususnya di koridor utara ini amatlah diberi penekanan contohnya di Pulau Pinang ini sektor borong dan runcit antara yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

“Bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi, kita harus mencari penanda aras untuk diukur pencapaian negara ini dalam bidang ekonomi kerana pada akhirnya, semua ini akan berbalik semula kepada angka yang dijadikan kayu pengukur,” jelasnya lagi sebagai panel terakhir untuk forum ini.

Moderator bagi sesi ini adalah Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan, Prof. Madya Dr. Zamri Ahmad. Forum akademik ini membincangkan mengenai inisiatif penilaian strategik dalam mencapai ekonomi berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Teks & Foto: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 963

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024