PRODUK CENDAWAN TARUHAN USM DALAM PERTANDINGAN FRANCAIS SISWA 2015 PERINGKAT KEBANGSAAN
PULAU PINANG, 2 Oktober 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengorak langkah dalam memperkasakan bidang keusahawanan dalam kalangan para pelajarnya dengan menghantar pasukan untuk menyertai pertandingan Program Francais Siswa 2015 anjuran Persatuan Francais Malaysia (MFA), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 30 September 2015 lalu.
Menurut Ketua Kumpulan dari USM, Siti Nur Aqilah Muhammad Anwar, 25, pertandingan kali ini adalah penganjuran kali kedua oleh MFA dan merupakan penyertaan kali kedua juga dari USM.
Pada edisi pertama, USM telah mendapat tempat ketiga menerusi projek Popia Sampan.
“Pada tahun kedua ini, USM tampil dengan projek Mushy Monster iaitu konsep idea untuk melaksanakan penjualan makanan melalui kaedah food truck atau lori iaitu kesemua menu yang ditawarkan mempunyai unsur cendawan contohnya ayam goreng digoreng menggunakan tepung cendawan, pai cendawan dan air cendawan,” kata pelajar Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan itu.
Tambah Siti Nur Aqilah, semasa di UPM, minuman cendawan yang diberikan kepada juri untuk tujuan sampel mendapat sambutan amat baik serta para juri kagum kerana USM mempunyai rumah cendawannya yang diusahakan sendiri.
"Pada pendapat saya, pertandingan dan program ini sangat membantu saya secara individu untuk memasuki bidang keusahawanan kerana berbeza dari program yang biasa dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Sahsiah Pelajar (PPKSP) USM dengan fokus utamanya untuk mengembangkan perniagaan pada peringkat francais serta ilmu berkenaan proses dan prosedur pula disampaikan oleh panel jemputan yang mempunyai latar belakang perniagaan yang berjaya," katanya lagi.
Siti Nur Aqilah berharap agar USM akan terus menghantar penyertaan kerana program seperti ini sedikit sebanyak memberi pendedahan awal untuk para pelajar membuat perancangan rapi untuk menjalankan perniagaan pada masa hadapan justeru melahirkan para usahawan yang berjaya.
Keunikan penyertaan kali ini ialah 4 orang wakil dari USM ini tidak mempunyai latar belakang perniagaan yang diwakili oleh Siti Nur Aqilah binti Muhammad Anwar, Muhammad Syakirin bin Md Salleh, Muhammad Aidid Waliyuddin bin Remli dan Nur Alya Adriaana binti Ahmad Sukri.
Para Peserta dari USM dibantu oleh pensyarah yang menjadi Penasihat Projek, Mohd Shafie Ariffin serta dibantu oleh 2 Pegawai dari PPKSP, Puteri Salamah Abdul Aziz dan Nurul Izzati Rozali. Antara universiti yang bertanding di peringkat akhir adalah USM, UM, UKM, UUM, UPM, UNIMAS, UMK, USIM, UNISZA dan UTEM.
Pada peringkat saringan terdapat banyak IPTA yang menghantar penyertaan, namun hanya 10 yang terbaik seperti di atas dipilih untuk bertanding di peringkat akhir ini yang dibekalkan sejumlah wang RM1,500 setiap kumpulan untuk persediaan.
Keputusan akhir akan diumumkan pada 17 November 2015 iaitu pada Malam Anugerah Francais Siswa yang akan berlangsung di Kuala Lumpur.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto: Siti Nur Aqilah Muhammad Anwar
- Created on .
- Hits: 1171