KERJASAMA ANTARA INSTITUSI PENDIDIKAN PERLU UNTUK KECEMERLANGAN MASA HADAPAN
PULAU PINANG, 2 Oktober 2015 - Semangat kerjasama perlu diterapkan dalam kalangan institusi pendidikan seluruh pelusuk dunia demi kelangsungan kemajuan dan juga perkembangan selaras dengan agenda institusi masing-masing dalam memartabatkan lagi bidang pendidikan ke tahap yang dapat dibanggakan.
Menurut Konsul Kehormat Republik Perancis di Pulau Pinang, Teoh Seng Aun ketika menyampaikan pembentangan sesi pertama Program USM 2nd Ambassadors Summit 2015 baru-baru ini, kerjasama yang mapan diperlukan oleh institusi pendidikan bagi mengekalkan daya saing antara institusi dan juga kecemerlangan sesebuah institusi tersebut.
"Sebagai contoh, universiti mampu untuk mengajar serta mendidik para pelajar berkenaan bidang keusahawanan, akan tetapi, keusahawanan itu sendiri adalah sesuatu yang berbeza dengan apa yang diajar berkaitan bidang keusahawanan ini sendiri," kata Teoh.
Tambahnya, penarafan QS World Ranking adalah salah satu parameter yang boleh digunakan untuk mengukur kecemerlangan dan kemajuan sesebuah universiti itu melalui bidang-bidang terbaik dan bagi perkara lain manakala setiap memorandum persefahaman (MOU) yang ditandatangani oleh pihak yang terlibat perlulah mempunyai tindakan susulan yang kerap serta efektif.
Teoh menyatakan bahawa sebagaimana sistem neuro manusia bekerjasama antara satu sama lain, begitu jugalah kolaborasi dan kerjasama yang perlu ada di antara negara dan institusi yang terlibat.
Program USM 2nd Ambassadors Summit 2015 menampilkan 3 orang Pro Canselor USM iaitu Tan Sri Razali Ismail, Tan Sri Dato’ Dr. Jegathesan Manikavasagam dan Tan Sri Datuk Mustafa Mansur sebagai moderator yang mengendalikan 3 sesi berasingan sepanjang hari yang belangsung di Dewan Budaya USM.
Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 684