USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MPPUSM KETENGAH ISU ASEAN, PERKUKUH KERJASAMA GLOBAL DAN BANTU TINGKAT PERPADUAN

 DSC6828cvgn

PULAU PINANG, 2 Oktober 2015 - Melihat akan kurangnya kesedaran mahasiswa khususnya di Malaysia terhadap Association of Southeast Asian Nations (ASEAN), Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPPUSM) Mohd Fahmi Mohd Fadzli mengambil inisiatif menyuarakan hasrat mengetengahkan isu ASEAN sebagai hala tuju utama MPPUSM pada sidang kali ini.

Misi dan visi Fahmi yang utama adalah mempromosikan ASEAN dalam kalangan mahasiswa USM yang pada pandangannya kurang kesedaran terhadap objektif dan isu-isu yang berlaku dalam kalangan negara ASEAN berbanding mahasiswa di negara ASEAN yang lain.

“Ramai dalam kalangan mahasiswa kita tidak mengetahui secara terperinci tentang negara ASEAN malah dalam lawatan ke Thailand dan Vietnam baru-baru ini saya agak teruja apabila mahasiswa di sana mempunyai pengetahuan tentang isu-isu yang dimainkan oleh ASEAN,” tambah anak kelahiran Jelapang Padi negeri Kedah ini lagi.

 DSC6849fgn

Katanya lagi, pada sidang lepas, MPPUSM membawa isu tentang globalisasi dalam pemikiran tentang ASEAN, namun pada kali ini, fokus akan diberikan kepada isu keusahawanan dalam kalangan mahasiswa.

“Memandangkan pada tahun ini Malaysia merupakan tuan rumah kepada persidangan negara-negara ASEAN kita boleh mengambil peluang dalam menyediakan satu jaringan untuk memperkukuhkan isu keusahawanan ini dalam kalangan mahasiswa di negara ASEAN supaya mahasiswa akan lebih berminat untuk mengetahui dengan lebih mendalam lagi tentang hal ini.

Selain daripada itu, hala tuju yang ingin dibawa oleh anak muda ini ialah untuk memberi fokus kepada MPPUSM dalam memainkan peranan dalam pertubuhan negara Islam OIC.

“Kita sedia maklum bahawa dalam isu pelarian Islam dari Syria misalnya peranan OIC masih tidak jelas, oleh itu saya ingin membawa satu langkah bentuk kerjasama dengan OIC untuk membantu golongan ini dalam menggesa negara-negara Islam untuk bertindak dengan lebih cepat,” kata pelajar tahun tiga Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan ini.

 DSC6851bvn

Fahmi juga pandang serius kepada isu kebangsaan khususnya perpaduan dan ekonomi dengan hasratnya membawa MPPUSM sebagai agen untuk menerangkan kepada mahasiswa tentang perkembangan ekonomi semasa di Malaysia dan memperbanyakkan aktiviti yang mampu mengeratkan perpaduan dalam kalangan mahasiswa.

“Pada masa kini, terlalu banyak maklumat palsu yang mampu menggugat kestabilan ekonomi di negara ini disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, oleh itu MPPUSM haruslah memainkan peranan untuk mengukuhkan kepercayaan masyarakat terhadap ekonomi di negara ini,” tambah anak sulung daripada tiga orang adik beradik ini.

Di samping itu, MPPUSM juga ingin memperkasakan lagi kebajikan mahasiswa USM.

Fahmi yang menang dengan majoriti terbesar iaitu 3,484 dalam pemilihan baru-baru ini berharap barisan kepimpinan MPPUSM pada sidang ini dapat bekerjasama dalam satu pasukan memperjuangkan suara mahasiswa sejagat serta menjadi penggerak utama dalam mencapai misi dan visi universiti.

Teks: Syuhada bt Abd Aziz

Foto: Mohamad Danial Shahri

  • Created on .
  • Hits: 894

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024