USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEPIMPINAN BERASASKAN KEBERHASILAN LAHIRKAN PEMIMPIN YANG EFEKTIF

 DSC6854hm

PULAU PINANG, 2 Oktober 2015 – Kepimpinan yang berasaskan kepada keberhasilan adalah satu elemen yang perlu diterapkan dalam kalangan setiap pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPPUSM).

Mereka perlu membentuk karakternya yang tersendiri dengan keupayaan menggerakkan komitmen mahasiswa yang lain untuk bertindak selain menetapkan hala tuju yang tepat dalam organisasinya.Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) USM, Profesor Dato’ Dr Adnan Hussein berkata demikian ketika memberi amanatnya dalam Majlis Penyerahan Watikah dan Lafaz Ikrar MPPUSM sidang 2015/2016.

“MPP perlulah menjadi nadi dan pendengar kepada mahasiswa lain di universiti selain perlu bekerjasama dengan pihak universiti untuk mengambil tindakan bersama-sama dalam kecemerlangan universiti," kata Adnan.

 DSC6914nm

Jelasnya, sebagai pemimpin pelajar, mereka haruslah memahami senario pendidikan tinggi negara yang tentunya sukar berfungsi secara efektif sekiranya tidak memahami misalnya Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Negara (PPPM-PT) dan inisiatif APEX 2020 serta memahami program-program pembangunan siswa USM dan harapan universiti terhadap anak-anak mudanya.

"Untuk menjadi pepimpin yang berjaya, mahasiswa perlulah menjadi seorang yang mampu memberikan inspirasi dan motivasi kepada orang yang dipimpin selain perlu libatsama bersama orang lain supaya organisasi yang dipimpin berjaya serta perlu menjadi seorang pemimpin yang prihatin kepada orang dipimpinnya," kata Adnan.

Tambahnya untuk menjadi seorang pemimpin yang efektif, seseorang itu perlulah mempunyai keupayaan dalam komunikasi yang berkesan di setiap tahap hubungannya sama ada perhubungan dengan orang atasannya atau orang bawahannya.

 DSC6907fghg

Adnan turut menyeru barisan pemimpin MPPUSM supaya sentiasa mengupayakan organisasi dengan membina jaringan berasaskan kumpulan organisasi bukan secara individualistik supaya organisasi dapat mengekalkan jaringan walaupun pemimpin berubah-ubah.

“Melalui organisasi ini juga, kita akan berupaya memupuk kreativiti apatah lagi USM adalah antara universiti yang sentiasa mementingkan pemupukan kreativiti yang perlu dipupuk dalam kalangan mahasiswa supaya dapat mencapai matlamatnya iaitu keberhasilan,” tambahnya lagi.

Teks: Syuhada bt Abd Aziz

Foto: Mohamad Danial Shahri

  • Created on .
  • Hits: 1011

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024