NC SAMBUT BAIK HASRAT MPPUSM PROMOSI ASEAN
PULAU PINANG, 2 Oktober 2015 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr Omar Osman hari ini menyambut baik hala tuju dan visi Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPPUSM) dalam usaha mempromosikan ASEAN dalam kalangan mahasiswa USM.
“Saya yakin atas keupayaan dan kepimpinan yang baharu ini akan dapat menerjah ke senario komuniti ASEAN untuk dikongsi bersama mahasiswa di sini mahu pun dalam kalangan negara ASEAN,” kata Naib Canselor.
Omar turut mengucapkan selamat maju jaya kepada barisan MPP bagi sidang 2015/2016 atas kejayaan mereka dalam pilihanraya universiti yang baru diadakan baru-baru ini.
“Saya percaya segala aktiviti MPPUSM akan mencapai objektif dan kejayaannya yang dihasratkan membantu meningkatkan kepercayaan masyarakat kepada USM sebagai sebuah universiti yang menjadi pilihan pelajar dengan moto Kami Memimpin, mengamalkan kelestarian dan memacu kecemerlangan untuk pengajian tinggi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Watikah dan Lafaz Ikrar MPPUSM bagi sidang 2015/2016 di sini, hari ini.
Yang hadir sama dalam majlis ini Pendaftar USM, Pn. Siti Zubaidah A Hamid, Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak, Dekan Pusat Pengajian Teknologi Industri, Profesor Dr. Azhar Mat Easa serta pegawai tertinggi universiti.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) USM, Profesor Dato’ Dr Adnan Hussein turut menyampaikan ucapan kepada para barisan MPP USM supaya menjadi seorang pemimpin yang efektif dalam memacu kecemerlangan universiti.
“MPP perlulah menjadi lebih matang dan bijak dalam membuat keputusan supaya dapat memberi manfaat kepada mahasiswa yang lain dalam mengasah bakat kepimpinan mereka,” kata Adnan.
Beliau juga menasihati mereka supaya tidak terjebak dalam perbezaan idelogi politik yang tidak memberi manfaat dan mendatangkan kebaikan sama ada dari segi perkembangan intelektual, sahsiah mahupun kebajikan mahasiswa itu sendiri.
Yang Dipertua MPPUSM Mohd Fahmi Mohd Fadzli berkata, perjalanan pemilihan MPP USM pada sidang kali ini berjalan dengan lancar dengan penuh hemah tanpa berlaku sebarang provokasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Jika sebelum ini, hala tuju MPP hanya dirangka oleh Majlis Tertinggi MPPUSM tetapi pada tahun ini hala tuju dan pelan MPPUSM akan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) buat kali pertama dalam sejarah dengan MPPUSM akan merangka satu perancangan strategik yang lengkap yang akan dibentangkan pada 12 Oktober nanti,” kata Fahmi yang menang dengan majoriti sebanyak 3,484 undi.
Tambahnya, inisatif yang diambil ini merupakan satu langkah yang terbaik untuk memartabatkan suara mahasiswa pada peringkat pengurusan tertinggi universiti.
Fahmi turut berharap agar barisan kepimpinan MPP pada sidang ini dapat bekerjasama dalam satu pasukan memperjuangkan suara mahasiswa sejagat serta menjadi penggerak utama dalam mencapai misi dan visi universiti.
Bendahari Kehormat MPPUSM sidang 2015/2016 Noor Syafirah Zainal Abidin pula berharap manifestonya dalam menjaga kebajikan atlet-atlet USM dan ketelusan sistem MyCSD dapat direalisasikan. “Saya mengharapkan sokongan semua mahasiswa untuk terus menyokong kami para barisan MPPUSM dalam membantu merealisasikan hala tuju dan matlamat MPPUSM,” kata pelajar tahun tiga dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan ini.
Exco MPPUSM dari Institut Pengajian Siswazah (IPS) USM Haja Mydin Abdul Kuthoos berkata, hala tuju utama MPP USM dalam menjaga kebajikan mahasiswa akan diteruskan lagi selain menjadi penghubung antara pihak pengurusan universiti dan pelajar dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi.
“Jika dahulu, kebajikan pelajar hanya tertumpu kepada pelajar ijazah pertama, tapi sebagai Exco bagi IPS USM saya akan cuba menjaga kebajikan dan keperluan pelajar di peringkat pasca siswazah supaya mereka tidak akan rasa tepinggir selain akan menjalankan aktiviti libatsama bersama lebih menyeluruh,“ katanya yang merupakan kali ketiga dipilih sebagai barisan MPPUSM sejak di peringkat Ijazah Sarjana Muda lagi.
Barisan MPPUSM bagi sidang 2015/2016 terdiri daripada 46 orang ahli termasuk lapan orang Exco daripada Kampus Kejuruteraan USM dan tujuh orang dari Kampus Kesihatan USM dan seorang yang mewakili Kampus KLE-USM di India.
Teks: Syuhada Abdul Aziz
Foto: Mohamad Danial Shahri
- Created on .
- Hits: 867