USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KREATIF DAN INOVATIF KUNCI BERDEPAN KRISIS EKONOMI

PULAU PINANG, 2 Oktober 2015 – Kreativiti dan inovasi adalah antara kunci untuk membangunkan sesebuah perniagaan khususnya ketika berhadapan dengan krisis ekonomi yang memberi cabaran kepada semua pihak.

Naib Canselor (NC) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, inovasi dan kreativiti membolehkan para pemain dalam bidang perniagaan yang bersedia menghadapi pergolakan ekonomi, mendepani cabaran sosial dan juga mampu memperbaiki prestasi perniagaan mereka.

Katanya, inovasi adalah nadi kepada perkembangan ekonomi dan pemacu kepada produktiviti, pertumbuhan ekonomi secara inklusif dan berupaya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.“Dengan mengambil kira kelestarian sebagai sasaran pada hari ini, perintis akan membina kompetensi yang akan memberi kelebihan serta keunikan yang sukar diikuti oleh pesaing.

“Kelebihan yang kompetetif ini juga akan membolehkan mereka berdiri teguh untuk pertumbuhan yang jitu, kerana kelestarian juga adalah satu aspek yang penting untuk pembangunan masa hadapan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena merasmikan penganjuran seminar The 11th Asian Academy Management (AAM) International Conference, sekaligus menyampaikan beberapa anugerah khas kepada tokoh perniagaan di sini hari ini.

Yang hadir sama ialah Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia, Tan Sri Dato’ Sri Zamzamzairani Mohd Isa, yang turut dinobat sebagai penerima anugerah ‘Business Person of the Year’.

Selain beliau, turut menerima anugerah ialah Dato’ Redza Rafiq dan Ketua Pengarah Yayasan Pahang, Mahmud Mohd Nawawi yang menerima Anugerah Corporate Social Responsibility (CSR) Leadership.

Tiga lagi tokoh turut tersenarai menerima AAM Life Membership Award iaitu NC Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali; Ketua Pegawai Eksekutif, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dan juga Senior Partner KPMG Ooi Kok Seng.

Dalam pada itu, Presiden AAM, Profesor Madya Dr. Noor Hazlina pula berkata, seminar yang mula diperkenalkan pada 1995 itu sehingga kini telah berjaya menarik penglibatan pelbagai pihak dan ratusan kertas kerja termasuk yang berkait secara langsung dan tidak langsung dalam bidang perniagaan dan pengurusan.

Katanya, AAM juga telah berjaya menerbitkan dua jurnal Scopus-indexed iaitu AAM Journal (AAMJ) dan AAM Journal of Accounting and Finance (AAMJAF), selain turut menerima 184 kertas kerja dari 14 negara termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, Nigeria, Singapura, Jordan dan sebagainya dalam seminar kali ke-11 tersebut.

“Seminar ini amat signifikan dalam keadaan semasa yang menambah tekanan kepada pemain industri perniagaan untuk mencapai kelebihan persaingan secara kompetetif dan lestari.

“Inovatif dan kreativiti telah menjadi satu strategi yang ampuh untuk perniagaan bertahan dan lestari dalam persekitaran yang dinamik dan mencabar,’’ ujar beliau.

Seminar yang bertemakan Embracing Innovation and Creativity: Towards Sustainability and Inclusive Growth itu turut menyaksikan kerjasama dengan Majlis Profesor Negara dalam forum akademik yang membincangkan mengenai inisiatif penilaian strategik dalam mencapai ekonomi berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Forum dipengerusikan oleh Pensyarah USM, Profesor Madya Dr. Zamri Ahmad manakala panelis terdiri dari Ketua Penasihat Teknikal dan Korporat NCIA, Hasri A. Hassan, Noor Azlan dan Ooi Kok Seng.

Teks: Tan Ewe Hoe

Foto: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1057

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024