USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

GRADUAN PERLU BERSEDIA MENJADI USAHAWAN – ZAMZAMZAIRANI

PULAU PINANG, 2 Oktober 2015 – Graduan pada masa kini harus lebih bersedia untuk menceburi bidang keusahawanan berbanding untuk bekerja makan gaji atau fokus untuk bekerja dengan agensi kerajaan dan swasta.

Graduan juga tidak harus takut kepada kegagalan malah akan lebih berusaha keras dan bersedia berkecimpung dalam keusahawanan kerana pada masa hadapan, pekerjaan yang akan ditawarkan berkurangan.

Demikian kata Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Berhad (TM) Tan Sri Dato’ Sri Zamzamzairani Mohd Isa yang juga penerima Anugerah ‘Business Person of the Year’ hari ini sempena The 11th Asian Academy of Management International Conference 2015 (AAMC 2015) anjuran AAM dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM), Majlis Profesor Negara dan Yayasan Pahang.

Zamzamzairani, 55, dipilih menerima anugerah tersebut atas pencapaian beliau menerajui TM sejak 13 tahun yang lalu dan dilantik sebagai Pengarah Urusan TM pada 25 April 2008.

“Saya tidak sangka akan menerima anugerah ini dan apa yang saya capai pada hari ini adalah hasil dan semangat kerjasama semua ahli pasukan TM,” kata Zamzamzairani.

“Mesej saya kepada para pelajar dan graduan supaya teroka bidang industri dan jangan hanya menunggu pekerjaan,” tambah Zamzamzairani yang juga Profesor Kunjungan di Multimedia Universiti.Turut menerima anugerah pada hari ini ialah Ketua Pengarah Yayasan Pahang, Mahmud Mohd Nawawi yang menerima Anugerah Corporate Social Responsibility (CSR) Leadership.

Mahmud berpendapat bahawa CSR atau Tanggungjawab Sosial Korporat perlu dilaksanakan bukan selepas mendapat keuntungan malah menjalankan tanggungjawab tersebut bagi mendapat serta menambah keuntungan kepada syarikat mahupun organisasi.

“Hal ini telah dijalankan oleh Yayasan Pahang sejak lama dahulu dengan memikirkan pelbagai aspek termasuk kebajikan pekerja,” tambah Mahmud, 51 yang mula dilantik sebagai Ketua Pengarah pada Januari 2015.

Pada majlis yang sama, seramai tiga orang lagi telah dipilih menerima AAM Life Membership Award iaitu Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali; Ketua Pegawai Eksekutif, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dan juga Senior Partner KPMG Ooi Kok Seng.

Kesemua anugerah disampaikan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman yang juga perasmi bagi AAMC 2015 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Turut hadir ialah Presiden AAM, Profesor Madya Dr Noor Hazlina Ahmad; Dekan Pusat Pengajian Pengurusan, Profesor Dr. Fauziah Md Taib dan Dekan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Profesor Madya Dr. Sofri Yahya.

AAM ialah ditubuhkan pada 18 Jun 1994 yang mana menjadi platfom para ahli akademik untuk penyebaran dan perkongsian idea mengenai isu perniagaan dan pengurusan. Persidangan AAM yang pertama telah diadakan pada tahun 1995.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain

Foto: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1004

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024