USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LAWATAN DELEGASI UNIVERSITAS MALIKUSSALEH PERKUKUH HUBUNGAN KERJASAMA DENGAN USM

DSC 4618ghj

PULAU PINANG, 29 September 2015 – Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal hari ini menerima kunjungan hormat delegasi dari Universitas Malikussaleh Aceh, Indonesia (UNIMAL) yang diketuai oleh Rektornya, Profesor Dr. Apridar di Bilik Persidangan Canselori USM.

Ahmad Shukri berkata, beliau amat berbesar hati menerima kedatangan seramai 13 orang delegasinya dalam menjalinkan peluang kerjasama serta membincangkan pelbagai isu berkaitan dengan kerjasama penyelidikan dan perkongsian ilmu dalam pelbagai bidang pembelajaran di antara USM dan UNIMAL.

"Saya berharap melalui lawatan ini perhubungan di antara dua buah negara ini akan diperkukuhkan lagi dan lebih banyak kerjasama penyelidikan bersama dapat diinisiatifkan pada masa yang akan datang," kata Shukri dalam ucapan aluannya pada majlis perjumpaan dan sesi dialog antara kedua-dua pihak.

DSC 4637gbh

Dalam pada itu, Shukri menyatakan ketersediaan USM dalam menandatangan memorandum persefahaman untuk berkolaborasi dalam pelbagai aspek khususnya bidang penyelidikan dan pembelajaran sepanjang hayat kepada pensyarah UNIMAL.

"Konvokesyen USM baru-baru ini telah melahirkan 12 orang doktor falsafah dalam kalangan pensyarah dari Universitas International Batam (UIB) Indonesia melalui kolaborasi program pasca siswazah Doktor Falsafah kepada pensyarah universiti dan USM mengalu-alukan kedatangan pensyarah dari UNIMAL dalam melanjutkan pelajaran khususnya di peringkat Doktor Falsafah supaya dapat melahirkan lebih ramai pensyarah yang mempunyai pendidikan tinggi untuk masa hadapan universiti dan negara," tambahnya.

Dalam ucapan balas, Apridar mengharapkan usahasama dan lawatan yang terjalin akan membolehkan kedua-dua belah pihak dapat berkongsi ilmu pengetahuan  dan menjalin kerjasama di antara UNIMAL dan USM dalam pelbagai bidang penyelidikan.

“Tujuan utama kedatangan delegasi UNIMAL pada kali ini adalah rentetan kepada lawatan delegasi UNIMAL pada Mei yang lepas untuk berkongsi idea dan pendapat serta melihat jalinan kerjasama yang boleh dijalankan khususnya dalam bidang kejuruteraan dan kualiti antara kedua-dua buah universiti ini. Seperti yang sedia maklum, USM merupakan sebuah universiti penyelidikan yang terkemuka di Malaysia dan bidang penyelidikannya adalah bertaraf antarabangsa.

DSC 4638gjg

Oleh itu, kami berharap dengan lawatan pada kali ini dapat menjalin hubungan penyelidikan bersama-sama dengan universiti di rantau Asia ini selain USM dilihat sebagai salah satu institusi terkemuka,’’ ujar beliau.

Beliau menyambut baik hasrat dan saranan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (USM) untuk menjalankan program pengsiswazahan doktor falsafah untuk pensyarah UNIMAL.

UNIMAL merupakan universiti awam di bawah naungan Kementerian Riset, Teknologi dan Pendidikan Tinggi Republik Indonesia yang ditubuhkan pada tahun yang sama dengan penubuhan USM iaitu 1969.

Yang turut hadir dalam sesi dialog ini Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Profesor Dr. Zaidi Mohd Ripin dan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Profesor Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin. 

Teks: Syuhada Abd Aziz

Foto: Zamani Abdul Rahim

  • Created on .
  • Hits: 1190

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024