INPUT AKADEMIA PENTING KEMBALIKAN KEGEMILANGAN INDUSTRI PERLOMBONGAN
PULAU PINANG, 29 September 2015 – Penemuan baharu, inovasi mahu pun amalan terbaik yang boleh diaplikasikan dalam industri perlombongan amat ditagih dalam usaha mengembalikan kegemilangan industri tersebut seperti satu ketika dahulu.
Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Mior Sallehhuddin Mior Jadid berkata, Malaysia kaya dengan khazanah sumber mineral namun stigma terhadap industri perlombongan yang disifatkan sebagai mengancam alam sekitar perlu ditangani dengan sebaiknya.
Katanya, industri perlombongan dapat menjana kekayaan negara namun pengurusannya perlu dibuat dengan cara yang mapan dan bersistematik bagi memastikan alam sekitar dipelihara dan kesannya tidak mengancam kesejahteraan masyarakat.
“Justeru kita memerlukan input yang bernas, pandangan, kajian, penemuan dan sebagainya dari ahli-ahli akademik dan profesional bidang sumber mineral dan galian bagi mengikis tanggapan umum yang menyifatkan industri ini lebih banyak buruk dari baiknya.
“Malaysia sememangnya kaya dengan pelbagai sumber galian termasuk emas, bijih besi, arang batu, kaolin, bauksit dan sebagainya. Hasil bumi ini mampu menjana pulangan ekonomi lumayan kepada negara, apatah lagi jika dihasilkan dalam bentuk produk berbanding dieksport secara mentah,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi temubual selepas menghadiri 8th International Conference on Geological and Geo-Resources Engineering yang turut diadakan serentak dengan 7th Mineral Symposium di Hotel Cititel, di sini hari ini.
Persidangan yang turut melibatkan sekumpulan lebih 40 pelajar dari negara-negara ASEAN dan Jepun melalui program 4th School On The Move (SOM) itu dirasmikan oleh wakil Naib Canselor merangkap Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Profesor Hanafi Ismail.
Tambah beliau, penganjuran persidangan yang menghimpunkan akademia, pakar, profesional dalam bidang mineral dari pelbagai negara itu dapat memberi impak besar khususnya dalam menghadapi cabaran dalam pengurusan industri perlombongan di negara ini.
Katanya, negara perlu melahirkan lebih ramai modal insan yang berkebolehan dalam bidang berkenaan dan persidangan itu menjadi platform ke arah melahirkan individu yang dapat memacu bidang tersebut di masa hadapan.
Hanafi pula berkata, persidangan itu melihat dengan terperinci amalan-amalan terbaik yang diamalkan oleh pakar-pakar dalam bidang mineral dan galian dari pelbagai negara di samping menjadi platform pertukaran idea dan membina jaringan kerjasama antarabangsa.
“Menjadi satu cabaran besar buat pemain-pemain dalam industri ini khususnya dalam menguruskan industri perlombongan secara lestari yang turut menyediakan kaedah konservasi serta penjagaan alam sekitar yang bersistematik.
“USM komited untuk terus berkolaborasi dengan pakar-pakar dari seluruh dunia untuk menjana ilmu dengan lebih luas serta mengimplementasi inovasi, penemuan idea-idea baharu yang dapat mengoptimumkan penjanaan sumber ekonomi dalam bidang geologi dan sumber mineral,’’ katanya.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 978