DUTA BESAR MALAYSIA KE INDONESIA USAHA KUKUH KESEFAHAMAN MELALUI PENDIDIKAN
JAKARTA, INDONESIA, 29 September 2015 - Duta Besar Malaysia ke Indonesia TYT Dato' Seri Zaharin M. Hashim mengalu-alukan usaha kolaborasi Universiti Sains Malaysia (USM) dengan pelbagai pihak di Indonesia khususnya melalui universiti-universitinya.
"Pihak saya malah berusaha mengukuhkan alumni dari pelbagai universiti Malaysia di Indonesia untuk meningkatkan hubungan bilateral agar mereka lebih memahami negara kita," kata Zaharain ketika menerima kunjungan hormat Naib Canselor USM Profesor Dato' Dr. Omar Osman di pejabatnya hari ini.
Yang turut hadir bersama-sama ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USM Profesor Dato' Muhamad Jantan dan Pengarah Education Malaysia Profesor Dr. Juzhar Jusoh.
Dalam pertemuan tersebut, Omar menjelaskan hasrat dan usaha USM untuk memperkasakan hubungan dalam bidang penyelidikan dan inovasi dengan pelbagai pihak di Indonesia terutamanya melalui universiti-universiti di sana serta dengan sokongan pihak kerajaan.
"Kami mengharapkan Menteri Riset, Teknologi dan Pendidikan Tinggi Republik Indonesia yang juga alumni USM dapat membantu kita terutamanya untuk merapatkan hubungan dengan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia yang juga alumni USM melalui pertemuan yang diharapkan dapat diadakan di negeri Pulau Pinang," kata Omar.
Jelasnya lagi dengan persefahaman melalui lebih 85 memorandum perjanjian yang ditandatangani setakat ini dengan pelbagai institusi di Indonesia, USM berhasrat meneruskan usaha ini di samping pelbagai aktiviti akademik dan pelajar yang sedia terjalin.
Perjumpaan selama lebih satu jam itu memberi peluang untuk memberikan penerangan dan penjelasan tentang pelbagai isu pendidikan tinggi untuk dijayakan pada masa hadapan.
Semalam Naib Canselor USM mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Kementerian Riset, Teknologi dan Pendidikan Tinggi Republik Indonesia Profesor Dr. H. Mohamad Nasir di pejabatnya di sini dan turut berbincang untuk kolaborasi masa hadapan termasuk kemungkinan menjalin kerjasama dengan universiti penyelidikan Malaysia.
Teks: Mohamad bin Abdullah
- Created on .
- Hits: 1448