NAIB CANSELOR USM KUNJUNG HORMAT MENTERI INDONESIA BINCANG KERJASAMA PENYELIDIKAN
JAKARTA, INDONESIA, 28 September 2015 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dr. Muhamad Jantan hari ini mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Kementerian Riset, Teknologi dan Pendidikan Tinggi Republik Indonesia Profesor Dr. H. Mohamad Nasir di pejabatnya di sini.
Pertemuan kira-kira satu jam tersebut disertai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Riset, Teknologi, dan Pendidikan Tinggi Republik Indonesia Ainun Naím, Direktur Jeneral Sumber Daya, Iptek dan Dikti Profesor Dr. Ali Ghufron Mukti, Staf Ahli Menteri (Senior Advisor) Bidang Relevansi, dan Produktivitas Dr. Ir. Agus Puji Prasetyono serta beberapa orang pegawai kanan lain.
Pada pertemuan tersebut, Omar mengucapkan tahniah bagi pihak universiti di atas pelantikan Mohamad Nasir sebagai menteri Republik Indoñesia.
Mohamad Nasir, 55, adalah alumni Doktor Falsafah (Perakaunan) dari Pusat Pengajian Pengurusan USM pada tahun 2004.
“Kami percaya, banyak perkara dan usaha yang boleh dimanfaatkan bersama dalam kalangan ahli akademik universiti di Indonesia dengan USM serta menerokai dengan lebih jauh lagi usaha penyelidikan dan pembangunan ilmu untuk masyarakat melalui sokongan Kementerian Kementerian Riset, Teknologi dan Pendidikan Tinggi Republik Indonesia,” kata Omar.
Dalam pertemuan tersebut Naib Canselor USM itu turut mencadangkan dilakukan lebih banyak penyelidikan dalam pelbagai disiplin Sains, Teknologi dan Inovasi di antara kepakaran USM dengan pelbagai pihak di Indonesia.
Beliau turut mengemukakan kertas cadangan penganjuran persidangan pengurusan bencana berdasarkan pengalaman USM mengadakannya dalam pengurusan banjir di Kelantan.
"Kami juga malah berharap agar dapat mengusahakan kolaborasi penyelidikan di antara universiti-universiti penyelidikan di Malaysia dengan pihak Indonesia dalam bidang-bidang berimpak tinggi," kata Naib Canselor.
Omar turut mengemukakan jemputan untuk beliau merasmikan Persidangan Antarabangsa Kearifan Tempatan kelolaan USM yang akan berlangsung di Bandung Indonesia pada bulan Oktober ini.
Sementara itu, Menteri Kementerian Riset, Teknologi dan Pendidikan Tinggi Republik Indonesia pula menghargai usaha USM untuk menjalin kerjasama dengan pelbagai pihak universiti di Indonesia mahu pun pada peringkat ASEAN.
Sambil menjelaskan tentang peranan kementeriannya, beliau menyatakan harapan untuk memainkan peranan lebih luas dalam bidang penyelidikan, teknologi dan pendidikan tinggi melalui Komuniti ASEAN dan sedia menimbangkan cadangan USM untuk menjalin kerjasama penyelidikan serta mewujudkan mekanisme bagi membolehkan hubungan lebih bermakna dilaksanakan pada masa hadapan.
“Saya sangat mengalu-alukan hasrat ini dan mengharapkan satu perbincangan lebih lanjut akan diteruskan pada masa hadapan di peringkat pegawai supaya hubungan sedia ada ini dapat diangkat ke tahap lebih tinggi untuk manfaat bersama apatah lagi pada saat kementerian ini sedang berusaha mencapai tugas dan fungsinya yang berkaitan dengan kemajuan Sains dan Teknologi, aeroangkasa dan satelit serta usaha-usaha lainnya yang giat dilaksanakan melalui Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia, Lembaga Penerbangan dan Antariksa Nasional, Badan Pengkajian dan Penerapan Teknologi serta beberapa lembaga lain di bawah kementerian ini,” kata Mohamad Nasir.
Dalam pertemuan yang sama, Naib Canselor USM turut memberikan taklimat tentang usaha-usaha penyelidikan serta pelbagai memorandum kerjasama USM dengan pelbagai universiti di Indonesia, usaha penerbitan bersama, cadangan penubuhan Pusat Kecemerlangan Pengajian Asia dalam bidang Pengurusan, penyelidikan kerjasama dalam penawaran ijazah tinggi perniagaan, Sains Farmasi dan Sains Kajihayat serta hubungan akrab lain yang sedia wujud selama ini.
Teks & Foto: Mohamad bin Abdullah
- Created on .
- Hits: 1055