USM DAN PEMENANG TAWAR TUISYEN PERCUMA
PULAU PINANG, 27 September 2015 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) dan Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) bekerjasama menawarkan tuisyen percuma kepada pelajar miskin dan juga anak-anak yatim di Pulau Pinang atau lebih dikenali sebagai Projek Kecemerlangan Akademik (PeKA) melalui Sistem Bimbingan Pendidikan Termaju atau Advance Guidance Education System (AGES).
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, program ini juga adalah amanah dan tanggungjawab sosial USM untuk membantu masyarakat.
"PeKA ini dijalankan di USM yang mana tenaga pengajar adalah dalam kalangan pelajar PPIP sama ada di peringkat ijazah sarjana muda atau ijazah tinggi," tambah Ahmad Shukri yang mewakil Naib Canselor, Profesor Dato' Dr. Omar Osman di majlis jamuan teh bersama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan majlis penandatanganan Memorandum Perjanjian (MoA) di antara USM dan PEMENANG di Dewan PEMENANG di sini hari ini.
Ahmad Shukri menandatangani MoA tersebut bersama Dekan PPIP, Profesor Dato' Dr. Abdul Rashid Mohamed bagi pihak USM manakala PEMENANG diwakili oleh Presiden, Tan Sri Dato' Seri Mohd Yussof Latiff dan Pengerusi Dana Kebajikan Dato' Ahmad Rodzi Pawanteh.
MoA tersebut bertujuan untuk mewujudkan kerjasama serta membangun, menyokong dan memperkaya pembangunan penyelidikan dan pendidikan dalam bidang-bidang yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
PEMENANG juga telah menawarkan ruang di Galeri Persejarahan PEMENANG untuk USM mempamerkan aktiviti pendidikan AGES dan penyediaan pelajar untuk tuisyen tersebut.
"Bagi mengendalikan tuisyen percuma ini, PEMENANG melalui Dana Kebajikan akan membiayai perbelanjaan pengendalian kelas kepada semua pelajar yang bersungguh-sungguh ingin belajar," kata Mohd Yussof.
Hadir menyaksikan penandatanganan MoA tersebut dan melawat Galeri Persejarahan PEMENANG ialah Tuan Yang Terutama Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman Abbas, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato' Seri Utama Hajah Majimor Shariff.
Turut hadir ialah isteri Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Datin Dr. Aishah Knight serta ahli-ahli PEMENANG.
Teks: Nor Rafizah Md. Zain
Foto: Mohamad Danial Shahri
- Created on .
- Hits: 1405