KORBAN KASIH POKB BANTU PESAKIT HUSM
KUBANG KERIAN, 27 September 2015 - Bersempena sambutan Aidiladha tahun ini, Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) telah menyumbang seekor lembu untuk diagihkan kepada keluarga pesakit di wad kanser Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
Proses penyembelihan dan memasak daging korban tersebut telah dilaksanakan pagi tadi dengan kerjasama Ikatan Relawan Malaysia (RELA) dan Pusat Islam Kampus Kesihatan USM.
Menurut Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato' Dr. Mafauzy Mohamed, program ibadah korban ini bertujuan untuk mengagihkan daging korban kepada 60 orang pesakit kanser di Hospital USM.
"Saya bagi pihak USM mengucapkan terima kasih kepada POKB dan RELA atas sumbangan ini terutama kepada pesakit yang kurang mampu," kata Mafauzy.
Tambahnya lagi, POKB telah banyak memberi sumbangan kepada USM khususnya Hospital USM yang diharapkan dapat meringankan beban kepada keluarga pesakit.
Sementara itu, Pengerusi POKB, Datuk Hj. Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, pihaknya akan terus memberi sumbangan kepada pesakit-pesakit kanser pada masa akan datang melalui tabung kasih buah pinggang kronik POKB HUSM bersama dengan Koperasi Warga USM.
Teks/Foto: Mohd Hafiz Yaacob & Abdul Aziz Latif
- Created on .
- Hits: 904