APEX SCHOLAR SASAR LAHIR SISWAZAH BERKUALITI DUNIA, BERJATI DIRI DALAM MEMBANGUN NEGARA
PULAU PINANG, 26 September 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus berusaha memperkasa bakat masa hadapan dalam melahirkan siswazah berjiwa global dan diterima di pasaran antarabangsa dalam meningkatkan kebolehpasaran bertaraf dunia melalui Program ‘APEX Scholar’ hasil kolaborasi Bahagian Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) dengan Pusat Kecemerlangan Akademik & Penasihatan dan Pembangunan Pelajar (CDAE).
Dalam pertemuan dengan Timbalan Naib Canselor (HEPA), Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein baru-baru ini, beliau menjelaskan program untuk pelajar ijazah pertama ini bertujuan membina dan menghasilkan siswazah cemerlang dalam akademik dengan pengukuhan dalam kemahiran yang holistik, mengupayakan bakat kepimpinan dan kemampuannya untuk berinteraksi pada peringkat antarabangsa.
“Program Apex Scholar ini berteraskan kepada pembangunan intelektual yang mengasah bakat kepimpinannya selain bersifat transdisiplin melalui pelbagai modul sepanjang tiga atau empat tahun mereka berada di kampus USM,” kata Adnan.
Program ini selari dengan agenda APEX fasa dua untuk melahirkan bakat pelajar yang bersifat global. Program ini mendapat pembiayaan melalui dana APEX fasa dua dan para penaja serta kerjasama pihak industri atau bakal majikan yang akan mengambil mereka menjalani latihan industri atau bekerja kelak.
Tegas Adnan, program yang baharu diperkenalkan oleh USM ini belum dibuat sebelum ini yang bersifat holistik dan intensif yang memantapkan kemampuan intektual dan bakat kepimpinan pelajar dengan impaknya diharapkan boleh dilihat selepas mereka melalui semua modul ini yang melibatkan enam domain iaitu kreativiti, inovasi, bahasa, kemahiran pemikiran kritis dan inovatif dan pengetahuan global.
“Pada akhirnya kita ingin melihat para peserta dapat menguasai ciri-ciri yang dipanggil sebagai graduan Apex Scholar untuk bersaing dengan begitu ramai bilangan siswazah yang keluar dari universiti setiap tahun yang diharapkan mereka ini mampu mendaki kejayaan dengan memiliki keyakinan diri, kebolehan berbahasa dan lain-lain untuk melonjakkan diri mereka dengan cepat sebagai pemimpin dalam organisasi mereka,” kata Adnan.
Tegasnya lagi, adalah menjadi hasrat universiti juga untuk melahirkan graduan melalui Program Apex Scholar ini sebagai pemimpin dalam pelbagai sektor bukan hanya dalam bidang pentadbiran awam tetap juga dalam sektor swasta sebagai pemimpin masa hadapan yang membina dan membangunkan negara dengan mempunyai jati diri kenegaraan dan semangat patriotisme yang tinggi.
Modul yang digunakan dalam program ini merangkumi aspek kemahiran penulisan, pemikiran yang kritikal, inovatif dengan penekanan kepada nilai-nilai sebagai pemimpin masa hadapan.Fasa pertama program Apex Scholar bermula pada semester ini dengan melibatkan di antara 50 hingga 80 orang pelajar dari pelbagai Pusat Pengajian yang dipilih selepas melalui sesi temuduga yang melibatkan hampir 200 orang pelajar yang memohon untuk menyertainya. Program ini akan dijalankan secara intensif semasa cuti semester dan turut berlangsung pada hari minggu semasa semester berlangsung.
“Kita amat berharap, penglibatan pelajar dalam program ini dapat mengukuhkan lagi pencapaian akademik mereka selain memberi peluang kepada mereka untuk menjalani latihan industri di luar negara termasuk di universiti-universiti yang mempunyai program kepimpinan sekurang-kurangnya selama satu semester,” kata Adnan.
Jelasnya lagi, sekarang ini adalah peringkat akhir penulisan dan penyediaan modul yang apabila selesai akan diikuti dengan latihan kepada para pengendali program ini sebelum dilaksanakan dalam kalangan para peserta yang bersifat multidisiplin dengan sesuatu modul akan menggabungkan pelbagai disiplin yang ada.
“Misalnya dalam modul inovasi, kita mengharapkan pelajar dari pelbagai bidang ini akan bergabung untuk melaksanakan sesuatu projek dengan sinergi pemikiran yang berbeza dalam kalangan mereka untuk melahirkan sesuatu idea yang bersifat inovatif," katanya.
Adnan berharap agar program Apex Scholar dapat melahirkan graduan yang mempunyai ciri-ciri dan bakat kepimpinan selain mempunyai kemahiran-kemahiran tertentu untuk bersedia menjadi pemimpin masa hadapan serta menjadi role model, pencetus kepada pelajar lain dalam universiti dalam segala aspek.
Teks: Syuhada Abd Aziz
Suntingan: Mohamad Abdullah
Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1242