USM-SCFE TECH JALIN KOLABOLASI TEKNOLOGI HIJAU UNTUK INDUSTRI FARMASEUTIKAL
PULAU PINANG, 23 September 2015 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Pusat Pengajian Sains Farmasi (PPSF) hari ini menandatangani Perjanjian Kolaborasi dengan anak syarikat KCE Ltd. Jepun iaitu SCFE Tech Sdn. Bhd. yang memainkan peranan penting dalam bioteknologi dengan pengkhususan pengeluaran ekstrak produk biokimia untuk kesihatan dan kosmetik.
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, ini adalah satu penghormatan kepada Pusat Pengajian Sains Farmasi USM yang diberi kepercayaan untuk berkolaborasi dengan sebuah syarikat antarabangsa yang diiktiraf sebagai berkelas dunia yang berfokus kepada penggunaan teknologi hijau dan mesra alam selari dengan hasrat USM untuk memastikan kelestarian hari esok melalui usaha seperti ini.
SCFE Tech bersetuju berkolaborasi untuk menjadi rakan penyelidik dalam pembangunan produk mesra alam dengan menggunakan teknologi novel dalam proses Supercritical CO2 yang dapat dimanfaatkan oleh pasukan penyelidik USM untuk menerokai dan membangunkan produk baharu dalam tempoh tiga tahun akan datang menggunakan peralatan canggih untuk tujuan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) di USM.
“Penggunaan peralatan canggih ini akan membolehkan para penyelidik USM mendapatkan ekstrak semulajadi yang mempunyai nilai perubatan dalam tumbuhan dan herba tempatan,” tambah Naib Canselor.
Syarikat tersebut juga bersetuju menaja calon Ph.D dari Pusat Pengajian Sains Farmasi untuk mengikuti pengajian dalam bidang yang berkaitan dalam tempoh 3 tahun yang akan datang.“Peluang ini juga amat bermakna dalam mendorong dan memberi pekluang para penyeklidik dan ahli akademik USM untuk bekerja bersama-sama saintis terkemuka dari Jepun untuk tujuan menguasai dan memperluaskan teknologi dan kepakaran yang ada,” kata Omar.
Perjanjian Kolaborasi tersebut telah ditandatangani oleh Naib Canselor USM dengan Presiden SCFE Tech Sdn. Bhd., Mr. Toshihiro Hattori dan disaksikan oleh Dekan PPSF USM, Profesor Dr. Munavvar Zubaid Abdul Sattar bagi pihak USM, manakala SCFE Tech Sdn. Bhd. pula diwakili oleh Timbalan Presidennya, Ham Hon Pine.
Presiden SCFE Tech Sdn. Bhd. Toshihiro Hattori berkata, pihaknya gembira dapat berkolaborasi dengan USM yang tersenarai antara universiti terbaik di rantau ini dan berharap dapat menerokai usaha yang lebih luas pada masa hadapan.
“SCFE Tech Sdn. Bhd. memilih USM untuk kolaborasi ini kerana percaya dengan fokus USM terhadap aspek kelestarian selain dari teknologi dan keupayaan Pusat Pengajian Sains Farmasi dalam melahirkan ahli-ahli farmasi yang terbaik dan berkelas dunia malah berharap agar melalui perjanjian ini juga, beberapa produk baharu dapat dihasilkan dalam tempoh tiga tahun akan datang termasuklah perkongsian maklumat dan input oleh saintis dari Jepun dan USM,” katanya lagi.
Tambah Toshihiro, dalam masa terdekat, SCFE Tech akan menyediakan prasarana untuk R&D di PPSF USM, menaja pelajar Ph.D dan menempatkan saintis dan jurutera berpengalaman untuk membantu USM dalam penyelidikan bagi fasa yang pertama.
Yang hadir sama menyaksikan Upacara Penandatanganan Perjanjian ini ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey, Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Profesor Dr. Fauziah Md. Taib dan pegawai-pegawai utama universiti.
Teks: Syuhada Abd. Aziz & Siti Naquiah Abdillah
Foto: Mohd. Fairus Md. Isa.
- Created on .
- Hits: 1162