USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NAIB CANSELOR SERU WARGA KAMPUS BERKORBAN UNTUK MASA HADAPAN

 DSC5864fghg

PULAU PINANG, 24 September 2015 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Omar Osman hari ini mengucapkan selamat hari raya aidil adha kepada seluruh warga kampus sambil menyeru untuk meneruskan kerja dengan ikhlas demi masa hadapan ummah yang lebih cemerlang.

Berucap kepada jemaah yang menghadiri solat sunat aidil adha di Mesjid Al-Malik Khalid, Omar berkata aidil adha mengajak kita bukan sahaja bersyukur, bersatu hati sebagai satu ummah besar malah membuat muhasabah dalam menghayati erti sebenar pengorbanan.

 DSC5913h

"Sebagai warga pendidikan tinggi, amanah itu amat berat untuk kita pikul bersama-sama, yang terletak di bahu para ilmuan dan cerdik pandai, yang dipegang oleh para mahasiswa dan penuntut ilmu pegang amanah terhadap ajaran agama yang menghendaki ilmu yang dimiliki dimanfaatkan untuk pembangunan ummah dan manusia seluruhnya dalam menegakkan agama dan syiar Allah swt di muka bumi," kata Omar.

 DSC5950fgj

Tambahnya lagi, ini juga berkait rapat dengan bagaimana kesanggupan berkorban untuk mendidik anak-anak bangsa kita, menggunakan ilmu yang ada untuk mengeluarkan bangsa dan ummah dari belenggu kemiskinan dan bagaimana untuk tunaikan amanah menggunakan setiap sen yang diberi untuk faedah dan kemashlahatan agama dan manusia seluruhnya serta bagaimana untuk manfaatkan kekuatan ilmu yang ada dalam membantu orang lain, mengeluarkan masyarakat dari sifat-sifat yang merosakkan diri dan orang lain, apatah lagi untuk mendidik orang lain agar sentiasa bersyukur dan mendekatkan diri lagi dengan Tuhan.

"Kita melihat begitu banyak kejayaan yang dicapai oleh institusi pendidikan tinggi. USM sendiri pun bertuah misalnya kerana kekuatan semangat pengorbanan warganya dalam menguasai dan memanfaatkan ilmu pengetahuan sehingga meletakkan sebahagian dari ilmuan kita sebagai yang terbaik di dunia, dirujuk malah diiktiraf sebagai bintang yang menyinar di negara ini dalam bidang akademik dan penulisan. Ilmuan kita berusaha keras untuk memastikan nama universiti berupaya bersaing dan berada dalam kelompok berbagai ranking dunia," kata Omar.

 DSC6024hg

 DSC6095gh

Malah USM kata Omar, bersyukur kerana empat ahli akademik sama ada yang telah merintis jalan awal dalam penubuhannya mahu pun yang masih berada di sini berjaya dinobatkan sebagai penerima Anugerah Akademik Negara dan menerima pelbagai anugerah - apatah empat dari lapan penerima Anugerah Akademik Negara adalah dari universiti ini.

"Semua ini bukan dicapai dengan mudah dan banyak yang boleh dipelajari dari semangat dan pengorbanan mereka dalam memanfaatkan ilmu pengetahuan dan memartabatkan pendidikan tinggi di persada dunia serta bagaimana jihad ini perlu diteruskan dalam memastikan kita berupaya berdiri sama tinggi dengan orang lain tanpa mengorbankan prinsip asas jati diri, usaha menegakkan syiar agama dan menjaga kemashlahatan ummah seluruhnya.

 DSC6069hj

Bagaimana memanfaatkan ilmu melalui penggabungan pelbagai disiplin, merentasi pelbagai perbezaan dan bidang, menghormati kepelbagaian dan menjadikan kekuatan ilmu untuk masa hadapan dan kecemerlangan pendidikan tinggi yang dihormati dan dipandang tinggi," tegas Omar.

Sebanyak 15 ekor lembu dan 14 ekor kambing dikorbankan di Mesjid Al-Malik Khalid tahun ini oleh ahli-ahli khariyah dan warga USM.

Teks: Mohamad Abdullah

Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1119

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024