USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TECHINNOVATION KETENGAHKAN PRODUK PENYELIDIKAN USM KE PERINGKAT ANTARABANGSA

PULAU PINANG, 24 September 2015 - Pameran Techinnovation yang berlangsung di Marina Bay Sands Singapura pada 22–23 September 2015 telah membuka lembaran baru kepada hasil penyelidikan para penyelidik USM untuk lebih mengkomersialkan produk mereka ke peringkat antarabangsa.

Pada pameran tahun ini, sebanyak 10 teknologi USM yang dipamerkan iaitu hasil penyelidikan Prof. Dr. Widad Ismail (Wireless Production Monitoring System), Prof. Madya Dr. Amin Malik Shah Abdul Majid (MU-DERM: Natural Product Formulation For Wound Healing), Dr. Faiz Bukhari Mohd Shah (An Electrogenerative Process for Gold Recovery From Electronic Waste), Prof. Dr. Hanafi Ismail (rRubfoam: Recycling Used Rubber for Oil Spills Clean-Up), Dr. Suzylawati Ismail (Paintosorp: Adsorbent Coating for Dye Wastewater Treatment), Prof. Dr. Abdul Latif Ahmad (Plant-Based Waste as Biocoagulant for Waste Water Treatment), Prof. Dr. Hanafi Ismail (Degradable, Impact Resistant and Fire Retardant Latex Packaging Foam From Various Agricultural Waste), Prof. Dr. Abdul Rahman Mohamed (Apparatus and Process for Carbon Nanotube Production), Prof. Dr. K Sudesh Kumar a/l C Kanapathi Pillai (Rapid Method for The Detection of Lipase Activity) dan Prof. Madya Dr. Afidah Abdul Rahim (Water Resistant Wood Adhesive from Renewable Materials).

Daripada 10 teknologi ini, satu teknologi telah dipilih untuk sesi pitching iaitu produk hasil penyelidikan Profesor Dr. K. Sudesh Kumar, Rapid Method for the Detection of Lipase Activity.

Wakil delegasi dari Pejabat Inovasi dan Pengkomersilan USM, Dr. Sharon Cheang Peck Yeng berkata, sesi pitching ini menyediakan USM platform untuk mempamerkan teknologi kepada para peserta yang terdiri daripada syarikat dan agensi dari seluruh dunia.

"Tujuannya adalah untuk memberi kesedaran berkaitan produk tersebut dan juga untuk mengenalpasti potensi rakan kongsi yang boleh berkolaborasi serta membangunkan teknologi ini untuk dibawa ke pasaran", kata Sharon.

Tambahnya lagi, menerusi sesi sebegini, beberapa peserta dari negara yang terlibat telah datang dan mendekati hasil-hasil penyelidikan USM yang dipamerkan dan ini membuka ruang bagi kedua-dua pihak untuk berbincang serta mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan langkah seterusnya dalam pengkomersialan produk-produk ini.

"Selain itu, terdapat 3 syarikat telah membuat permintaan untuk sesi business matching bagi mengetahui lebih lanjut tentang teknologi USM iaitu hasil penyelidikan Profesor Madya Dr. Amin Malik Shah Abdul Majid, Profesor Dr. Abdul Latif Ahmad, Profesor Dr. Widad Ismail dan Dr. Suzylawati Ismail," ulasnya.

Penganjur pameran ini, Intellectual Property Intermediary (IPP) merupakan pertubuhan bukan perniagaaan yang ditubuhkan di bawah Penyelidikan, Inovasi dan Keusahawanan 2015 rancangan Singapura (RIE2015). IPP bekerjasama rapat dengan pelbagai pihak untuk menghubungkan mereka kepada teknologi yang membolehkan inovasi dan pengetahuan melalui rangkaian luas rakan kongsi teknologi global.

Sejak 2012, program ini telah mengumpulkan lebih 3,000 delegasi dari industri, 700 lebih teknologi diketengahkan dan lebih 250 mesyuarat pertama kali dimulakan bagi tujuan pengkomersilan.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1127

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024