USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM KONGSI ILMU PENGETAHUAN DAN KEPAKARAN GENETIK BERSAMA NEGARA CMLV

PULAU PINANG, 23 September 2015 – Pusat Inisiaif Penyelidikan Sains Hayat (CRI-Life Sciences) Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Institut Penyelidikan Pendidikan Tinggi Negara (IPPTN) USM, Inland Fisheries Research and Development Institute Kemboja (IFReDI) dan Can Tho University Vietnam (CTU) menganjurkan bengkel "DNA Barcoding, Phylogenetics & Population Genetics" baru-baru ini.

Pengarah CRI-Life Sciences yang juga penyelaras bengkel, Profesor Dr. Siti Azizah Mohd Nor yakin kerjasama saintifik dan perkongsian kepakaran USM dalam bidang genetik populasi dan teknik DNA Barcoding dengan institusi negara CMLV (Kemboja, Myanmar, Laos dan Vietnam) akan memacu kejayaan ke arah konservasi kepelbagaian bio terutamanya di rantau Asia Tenggara.

Fasilitator bengkel ini, Danial Hariz Zainal Abidin pula berkata, proses pemindahan pengetahuan atau pun ‘knowledge transfer’ menerusi bengkel ini mampu membuka lebih banyak peluang dalam rangkaian penglibatan bersama di dalam bidang akuakultur, biologi marin dan air tawar serta kajian genetik antara semua institusi yang terlibat.

"Kejayaan penganjuran bengkel ini telah menandakan salah satu objektif utama program CMLV iaitu perkongsian ilmu pengetahuan beserta kepakaran antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dan organisasi CMLV tercapai," katanya.

Tambah Danial, para peserta didedahkan dengan teknik DNA Barcoding yang kini diterima secara meluas sebagai pendekatan molekul yang cekap dalam pengenalan taksonomi, penemuan spesis dan pengurusan kepelbagaian biologi, tambahan pula teknik global ini mempunyai potensi untuk memberi maklumat awal mengenai analisis filogeni dan genetik populasi.

Bengkel 4 hari ini dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia menerusi program CMLV "Ensuring the Sustainability of the Lower Mekong River Basin (LMB) Inland Fisheries through Genetics" yang telah dianugerahkan kepada USM berdasarkan perbincangan dengan saintis dari negara CMLV.

Seramai 20 orang peserta dari negara CMLV ini telah mengikuti program ini.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

Teks Asal & Foto: Danial Hariz Zainal Abidin

  • Created on .
  • Hits: 1102

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024