USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENDIDIKAN TINGGI KUKUHKAN HUBUNGAN USM – IPT PAKISTAN

 DSC4460fgnj

PULAU PINANG, 21 September 2015 – Tamadun dan warisan negara Pakistan yang berusia lebih daripada 4,000 tahun dan budaya yang terus berakar umbi ini sangat memberi kesan kepada bidang pendidikan dan teknologi sebagai antara kebanggaan negara Pakistan.

Konsul Jeneral Kehormat Pakistan di Pulau Pinang, Dato’ Haji Abdul Rafique Abdul Karim ketika bercakap dalam USM 2nd Ambassadors Summit 2015 baru-baru ini menjelaskan pada masa ini, Pakistan akan terus menghantar pelajarnya ke Malaysia untuk menyambung pengajian dalam pelbagai bidang sebagai satu usaha mengeratkan lagi hubungan dua hala di antara kedua negara Islam ini.

“Terima kasih kepada USM yang telah menerima permohonan masuk pelajar yang berkelayakan ke universiti ini saban tahun dan angkanya diharapkan akan terus meningkat pada tahun akan datang," katanya. Malaysia dan Pakistan merupakan sebahagian daripada negara Komanwel yang mempunyai sistem pendidikan yang hampir sama, malahan sejak Perdana Menteri Malaysia yang pertama, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj lagi menggalakkan pelajar Malaysia untuk belajar di Pakistan.

 DSC4534j

Tambah Rafique, kolaborasi di antara USM dengan negara Pakistan perlu terus diperhebatkan dalam pelbagai bidang ilmu yang mampu  menyumbang kepada kejayaan yang lebih besar  seperti hubungan akrab  Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM dengan University of Peshawar yang diterajui oleh Profesor Dato’ Dr. Mohd Mokhtar Saidin yang telah membuka mata dunia tentang sejarah ketamadunan manusia.

Abdul Rafique turut menggesa agar semua pihak menggunakan pelbagai kaedah medium komunikasi  antara universiti di Malaysia dengan  Pakistan melalui Tele-konferen dan lain-lain kaedah lagi di samping mengharapkan  media turut  memainkan peranan utama dalam penyampaian maklumat yang lebih jelas berkaitan keadaan di Pakistan terutamanya yang berkaitan dengan bidang pengajian contohnya penyelidikan dalam bidang Perubatan, Teknologi Kejuruteraan Perisian, Farmasi dan Arkeologi yang merupakan antara bidang kekuatan negara tersebut.“

 DSC4557hvjh

Pakistan adalah sebuah negara yang aman damai dan tenteram, cuma walaupun terdapat laporan-laporan yang kurang menyenangkan yang sesekali berlaku perkara-perkara yang menimbulkan kebimbangan seperti juga di kebanyakan negara bergolak lain di seluruh dunia, yang sepatutnya tidak menimbulkan kesangsian malah perlu diteliti laporan daripada sumber yang sahih sebelum menerimanya begitu sahaja,” tegasnya lagi.

Moderator forum, Pro-Canselor USM dan diplomat, Tan Sri Razali Ismail berkata, rakyat di Malaysia perlu mencontohi cara negara Pakistan mengabdikan diri mereka terhadap aspek pendidikan dan bagaimana dengan pengabdian ini, ianya dapat melahirkan seorang insan yang berjaya termasuk nobel laureate yang pernah dilahirkan di bumi Pakistan.

"Pakistan adalah antara negara termaju pelbagai bidang dan saya harap kita di Malaysia dapat mempelajari dan berkolaborasi dengan mereka termasuk dalam pembangunan teknologinya," tambahnya lagi yang mempunyai pengalaman luas sebagai diplomat yang pernah menjelajah ke pelbagai negara.

 DSC4559bjh

Pada tahun 2013, Naib Canselor USM bersama dengan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik Antarabangsa dan pegawai-pegawai USM telah mengadakan lawatan dan menandatangani memorandum persefahaman dengan beberapa buah universiti di Pakistan untuk terus melebarluaskan hubungan dalam bidang pendidikan di antara kedua negara ini.

Program USM 2nd Ambassadors Summit 2015 ini dihadiri oleh hampir 400 peserta yang terdiri daripada pelajar dari dalam dan luar negara serta ketua-ketua jabatan dan warga staf USM.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

Foto: Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 1194

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024