USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENERIMA AAN BERAZAM TERUS CEMERLANG

Screen Shot 2015 09 22 at 4.00.23 PMfgj

PUTRAJAYA, 22 September 2015-  Para penerima Anugerah Akademik Negara (ANN) ke-9  yang  dirai dalam majlis gilang gemilang dan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato' Seri Idris Jusoh malam tadi berazam untuk terus cemerlang dalam pendidikan tinggi negara.

Universiti Sains Malaysia (USM) menerima empat anugerah termasuk anugerah utama iaitu Anugerah Tokoh Akademik Negara yang diberikan kepada mantan Dekan Pusat Pengajian Sains Kimia dan menerima Profesor Emeritus USM pada Ogos 2007, Profesor Emeritus Tan Sri Datuk Dr. Augustine Ong Soon Hock.

Screen Shot 2015 09 22 at 4.15.22 PM

"Saya menghargai anugerah ini dan akan terus mencurah ilmu kepada generasi muda dan nasihat saya kepada semua pelajar terutamanya pelajar USM supaya pilih bidang yang diminati dan baharulah kita dapat fokus," kata Augustine yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-81 baru-baru ini.

Penerima Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk, Profesor Dr. Rahmah Noordin yang kini berada di tanah suci bagi mengerjakan ibadah haji telah diwakili oleh anak sulungnya, Dr. Salman Riazi Mehdi Riazi bagi menerima anugerah tersebut.

Screen Shot 2015 09 22 at 4.13.11 PM

Salman yang juga pensyarah di Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan USM berkata produk ibunya iaitu Brugia Rapid adalah kit diagnostik pantas dan tepat bagi mengesan penyakit filariasis linfatik brugia atau untut.

Pendapatan kumulatif daripada pengkomersialan produk ini sehingga tahun 2014 adalah sebanyak RM1.67 juta yang mana berjaya menjana pendapatan negara malah memberi impak pada kesihatan manusia.

Screen Shot 2015 09 22 at 4.12.38 PM

Bagi Penerima Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal (Bidang Sains Sosial dan Sastera) yang juga pensyarah dalam bidang ekonomi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Profesor Madya Dr. Lean Hooi Hooi berkata anugerah tersebut memberikan motivasi kepadanya untuk menerbit lebih banyak makalah yang berimpak tinggi.

"Bidang ekonomi memerlukan saya untuk mengikuti perkembangan ekonomi negara dan juga dunia supaya apa yang saya lakukan adalah relevan dengan situasi semasa," tambah Lean.

Screen Shot 2015 09 22 at 4.11.14 PM

Profesor Madya Dr. Lim Jit Kang dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia pula  menerima Anugerah Ahli Akademik Harapan  atas pencapaian cemerlangnya dalam akademik dan menyandang pelbagai jawatan di dalam dan luar negara seperti Profesor Kunjungan Penyelidikan di Carnegei Mellon University Amerika Syarikat, Felo Muda Antarabangsa Chinese Academy of Sciences dan Saintis Kunjungan Jemputan di National University of Singapore.

"Saya akan terus menjalankan penyelidikan dalam bidang kejuruteraan dan mengembangkan ilmu sains dan perkongsian ilmu baharu yang dihasilkan untuk kesejahteraan manusia," kata ahli akademik berusia 37 tahun itu.

Teks: Nor Rafizah Md Zain / Foto: Dzulfikar Azmi Muhamad Aripin @ Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1510

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024